AM > BERITA

Sultan Selangor Titah Tubuh Jawatankuasa Pemulihan Kanak-kanak GISBH

09/10/2024 06:15 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya sebuah jawatankuasa dibentuk berhubung pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan daripada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH). 

Selangor Royal Office menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab bagi penghasilan kertas kerja terperinci untuk mengenal pasti kaedah pemulihan terbaik membabitkan lebih 600 kanak-kanak berkenaan.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa jawatankuasa itu perlu diwujudkan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana ia membabitkan masa hadapan kanak-kanak berkenaan.

"Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Tuanku Sultan serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan," menurut hantaran itu. 

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Senator Datuk Salehuddin Saidin di Istana Bukit Kayangan di sini.

Sebelum ini, MAIS dilaporkan telah melaksanakan proses pemulihan akidah terhadap 261 kanak-kanak ahli kumpulan GISBH sejak 1 Okt lepas dengan menggunakan modul khas yang dibangunkan majlis agama itu.

Menurut MAIS, modul yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) itu adalah antara pelan tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kanak-kanak GISBH yang bermula sejak 23 Sept lepas.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan