AM > BERITA

APM P.Pinang Pantau 124 Kawasan Mudah Banjir

09/10/2024 08:23 PM

BUTTERWORTH, 9 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang  memantau 124 kawasan yang sering dilanda banjir terutama dalam fasa peralihan monsun ketika ini.

Penolong Pengarah Sektor Operasi APM Pulau Pinang Mejar Kamal Jakariah berkata 44 daripada kawasan itu terletak di daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara (37), Seberang Perai Selatan (15), Barat Daya (15) dan Timur Laut (13).

“APM Pulau Pinang telah melakukan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan seperti kita maklum sekarang ini, fasa peralihan monsun yang menyaksikan hujan lebat serta ribut kencang.

“Di Pulau Pinang telah berlaku episod pertama bermula 17 hingga 21 Sept dengan 760 mangsa terjejas, jadi kami di APM negeri sudah bersiap sedia,” katanya kepada pemberita selepas latihan kesiapsiagaan APM Pulau Pinang menghadapi MTL di pejabat APM SPU di sini hari ini.

Kamal berkata seramai 510 pegawai dan anggota APM Pulau Pinang telah diberikan latihan secara berkala seperti tugas mencari dan menyelamat, pertolongan cemas dan operasi bantuan banjir.

Beliau berkata aset APM Pulau Pinang yang terdiri daripada 11 kenderaan menyelamat, 67 bot pelbagai jenis, 14 ambulans, tujuh lori dan enam pacuan empat roda juga sedia digerakkan ke kawasan bencana.

“APM Pulau Pinang memantau rapat maklumat berkenaan ramalan cuaca dan paras sungai, malah pegawai-pegawai kita yang bertugas sebagai penyelamat di pantai turut membuat pemantauan,” katanya.

Beliau berkata 570 penduduk daripada tujuh kampung juga dilatih mengenai asas tindakan semasa bencana, termasuk bantuan kecemasan dan pemindahan mangsa.

“Latihan itu terbukti berjaya pada fasa pertama banjir bulan lepas dan kami berharap dapat melatih lebih ramai untuk memastikan mereka lebih bersedia menghadapi banjir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan