AM > BERITA

Pulau Pinang Peruntuk Hampir RM13 Juta Bayar Elaun MPKK

09/10/2024 09:04 PM

TASEK GELUGOR, 9 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang memperuntuk hampir RM13 juta tahun ini bagi pembayaran elaun anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata Pengerusi MPKK menerima elaun RM700 sebulan, Setiausaha diberikan RM600 manakala Bendahari dibayar RM300.

Beliau berkata Elaun Pengurusan Mesyuarat pula diberikan pada kadar RM100 dan Elaun Kehadiran Mesyuarat dibayar RM100 berdasarkan 12 kali mesyuarat dalam setahun dengan jumlah keseluruhan RM12.975 juta.

“Pemberian elaun ini bukan sahaja keprihatinan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha gigih MPKK menyalurkan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat tetapi juga memastikan kebajikan rakyat terus terbela di tengah-tengah cabaran kos sara hidup,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) Penggal 2024-2028 di Kubang Menerong di sini hari ini.

Beliau berkata 375 anggota MPKK dilantik di seluruh negeri ini dengan 224 di Seberang Perai manakala 151 lagi di bahagian pulau bagi penggal 2024 hingga 2028.

Mohamad berkata MPKK adalah jentera terpenting dalam memastikan dasar kerajaan negeri sampai ke akar umbi dan berharap tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen serta integriti. 

Beliau berkata MPKK bukan hanya berperanan sebagai pemimpin di peringkat kampung tetapi juga wakil kerajaan negeri yang terlibat secara langsung dalam membangunkan masyarakat setempat, justeru mereka perlu menjadi contoh dalam memupuk semangat perpaduan.

“Anggota MPKK perlu bekerjasama dengan rakyat, bersikap terbuka dan demokratik serta menjadikan komuniti sebagai rakan strategik dalam memajukan kawasan masing-masing. 

“Setiap projek dan inisiatif yang dilaksanakan hendaklah selaras dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang sejahtera, mampan dan terlibat secara aktif dalam pembangunan negeri,” katanya.

Mohamad berkata anggota MPKK juga diseru bekerjasama rapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri serta memberi sokongan padu kepada mereka dalam menyelesaikan isu-isu komuniti dengan cekap. 

“Hubungan yang harmoni antara komuniti dan kerajaan negeri harus dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

"Setiap keputusan dan tindakan hendaklah berdasarkan kepada keperluan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan