AM > BERITA

Ahli Parlimen Pahang Diminta Bangkitkan Isu Projek R&r LTU Di Parlimen

09/10/2024 09:31 PM

KUANTAN, 9 Okt (Bernama) -- Ahli Parlimen Pahang diminta untuk membangkitkan isu pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang tidak jadi dibina di Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kemudahan tersebut amat penting bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan raya kerana jajaran LTU melibatkan perjalanan yang agak jauh.

“Sepatutnya ada dua R&R yang akan dibina tetapi telah ditiadakan. Saya difahamkan bahawa ini disebabkan oleh kenaikan kos dua kali ganda. Kita harus ingat, jajaran itu sepanjang 299.4 kilometer, yang agak jauh dan sukar sekiranya tiada kemudahan untuk ke tandas dan sebagainya.

“Sebab itu, kita minta agar pembinaan R&R diteruskan. Setakat ini, belum ada respons lagi. Namun, saya telah meminta rakan-rakan ahli Parlimen dari Pahang untuk membangkitkan perkara ini dan saya berharap Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberi ruang secukupnya untuk mereka berbahas mengenai isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pemukiman Kepimpinan Masyarakat Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Wan Rosdy juga berkata isu kenaikan kos dua kali ganda daripada anggaran kos asal LTU tidak seharusnya dijadikan halangan untuk pembinaan R&R di LTU, kerana yang penting adalah keselesaan dan keselamatan pengguna harus diberi keutamaan.

Sebelum ini, media melaporkan dua lokasi dikenal pasti sebagai cadangan pembinaan kawasan R&R di LTU iaitu di antara laluan Bentong ke Raub dan Kampung Kechau Tui di Lipis.

Pembinaan laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir 2026 itu bakal memanfaatkan rakyat, khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat (Bentong, Raub, dan Lipis) menuju ke Kelantan.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai isu melibatkan dakwaan penjarahan Hutan Sungai Lembing yang tular sejak semalam, beliau berkata kenyataan lanjut akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan