AM > BERITA

ICU JPM Lulus 463 Permohonan Untuk Program SejaTi MADANI Di Melaka

10/10/2024 03:49 PM

ALOR GAJAH, 10 Okt (Bernama) -- Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Melaka meluluskan 463 permohonan melibatkan peruntukan geran bernilai RM23.7 juta kepada Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) sejak Mac lepas hingga semalam.

Peruntukan berkenaan disalurkan kepada 422 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), 12 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB), dua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dan 20 persatuan taman melibatkan pelaksanaan lima sektor tumpuan program.

Timbalan Pengarahnya Afzai Nizam Sandiman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 197 permohonan dengan nilai geran berjumlah RM7.6 juta diluluskan bagi daerah Melaka Tengah manakala di daerah Jasin, sebanyak 138 permohonan babitkan nilai geran RM7.7 juta.  

"Bagi daerah Alor Gajah, sebanyak 128 permohonan dengan nilai geran berjumlah RM8.4 juta diluluskan untuk melaksanakan sektor tumpuan ditetapkan iaitu pertanian dan makanan; jahitan dan kraf tangan; herba dan kesihatan; pelancongan dan hospitaliti; serta aktiviti hijau dan kitar semula.

"Setakat ini, permohonan masih dibuka dengan nilai geran maksimum sebanyak RM100,000 dan sekarang ini masih terdapat permohonan dalam proses pertimbangan dan menunggu kelulusan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Inap Desa Seri Percha yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut, Afzai Nizam berkata bagi Dewan Undangan Negeri Machap Jaya, sebanyak 29 projek dengan nilai geran yang diluluskan sebanyak RM1.59 juta melibatkan 14 JPKK, JKKR dan JPKKB.

Beliau berkata berdasarkan rekod permohonan bagi negeri berkenaan, sektor tumpuan tertinggi yang menjadi pilihan ialah pertanian dan makanan diikuti herba dan kesihatan, pelancongan serta hospitaliti, aktiviti hijau dan kitar semula selain jahitan dan kraf tangan.

Sementara itu, Ngwe berkata Inap Desa Seri Percha dibangunkan JPKK Hutan Percha menggunakan geran yang disalurkan menerusi Program SejaTi MADANI di bawah sektor pelancongan dan hospitaliti.

Beliau berkata premis asal inap desa berkenaan merupakan bilik mesyuarat JPKK berkenaan  yang ditambah nilai sebagai usaha menjana pendapatan melalui pelaksanaan program atau aktiviti berkaitan masyarakat kampung sekali gus mengurangkan beban kewangan ADUN kawasan.

"Selain itu, pelaksanaan perniagaan inap desa yang dikendalikan dalam kalangan ahli JPKK terlibat, secara tidak langsung memberikan pengalaman kepada mereka untuk mengurus aktiviti perniagaan dan belajar menjadi usahawan.

"Kedudukan inap desa ini juga amat strategik kerana terletak di atas Dewan Orang Ramai Felda Tun Ghafar Hutan Percha dan mereka yang mengadakan majlis perkahwinan boleh menyewanya bagi tujuan berehat atau bermalam," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan