AM > BERITA

KPT Bangunkan Pangkalan Data Komprehensif Kumpul Penyelidikan Universiti

10/10/2024 05:52 PM

ARAU, 10 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang membangunkan pangkalan data yang komprehensif untuk mengumpul dan menyenaraikan penyelidikan serta inovasi yang dihasilkan universiti untuk manfaat masyarakat serta pengkomersialan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata usaha itu bertujuan mengelakkan lambakan penyelidikan yang tidak dimanfaatkan sekali gus dapat memastikan kajian akademik  diintegrasikan dalam masyarakat seterusnya dikomersialkan.

“Kita mahu penyelidikan dijalankan di universiti dapat diklasifikasikan mengikut kluster yang boleh diaplikasikan untuk kegunaan masyarakat dan komersial. Ini selaras dengan penekanan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi ‘Talk to Us’ di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Mustapha berkata pemberian geran kepada pensyarah akan dipantau dengan ketat selepas ini bagi memastikan penyelidikan mereka memenuhi keperluan universiti dan industri. 

Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata KPT menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 untuk setiap keluarga tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan malam tadi.

"Kami amat berdukacita dengan kejadian tersebut. Bagi pihak kementerian kami menyampaikan salam takziah kepada keluarga tiga pelajar ini, kita urus pengebumian untuk kebajikan, dan kita memang buat yang terbaik termasuk akan bantu menyediakan sesi kaunseling kepada keluarga mangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan