AM > BERITA

PRR Bukti Komitmen Kerajaan Sedia Perumahan Berkualiti Untuk B40

10/10/2024 06:41 PM

KUALA NERUS, 10 Okt (Bernama) -- Program Residensi Rakyat (PRR) yang dirangka menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan perumahan yang lebih berkualiti kepada rakyat terutama golongan B40.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata PRR yang merupakan penjenamaan semula daripada Program Perumahan Rakyat (PPR), dibangunkan dengan mengambil konsep pembangunan sedia ada tetapi ditambah baik dengan elemen dan skop tambahan yang memberikan nilai wang terbaik, meningkatkan nilai tambah, kualiti unit rumah, daya huni serta bersifat mampan.

“PRR ini dilihat dapat memberikan keuntungan dalam jangka panjang sama ada dari aspek kos serta persekitaran. Antara perkara yang diberi perhatian dalam pelaksanaan PRR ini adalah aspek reka bentuk, susun atur, penggunaan aplikasi dan teknologi terkini dilengkapi lekapan dan lengkapan yang mesra tenaga serta mampu diselenggara lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih KPKT 2024: Majlis Penyerahan Kunci PRR Bukit Nenas di sini hari ini.

Aiman Athirah berkata pembinaan PRR merupakan antara fokus kerajaan dalam memastikan aspek ketersediaan perumahan rakyat dipenuhi khususnya bagi manfaat golongan B40.

Beliau berkata ia juga dilaksanakan seiring dengan hasrat kerajaan dalam memastikan 500,000 unit rumah mampu milik disediakan di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

Dalam pada itu, beliau berkata PRR Bukit Nenas yang mempunyai 500 unit rumah pangsa termasuk lima unit orang kurang upaya (OKU) merupakan projek kedua disiapkan KPKT selepas PPR Padang Hiliran di Kuala Terengganu yang mempunyai kira-kira 1,000 unit rumah pangsa.

Aiman Athirah berkata projek yang melibatkan kos RM96.15 juta dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 25 Jan tahun lepas itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk taska, tadika, taman permainan kanak-kanak, premis kedai dan surau bagi membolehkan seluruh penghuni berinteraksi serta melakukan kegiatan sosial dalam komuniti mereka. 

Beliau berkata selain dua projek tersebut, KPKT juga sedang membina PRR Besut melibatkan 450 unit rumah teres yang sedang dalam pembinaan dan dijangka akan disiapkan penghujung 2025 manakala sebuah lagi PRR sedang dalam perancangan untuk dibangunkan di Jeram di Manir di sini.

Tambahnya pembangunan pelbagai projek PRR di Terengganu menggambarkan sikap terbuka Kerajaan Perpaduan untuk bekerjasama terutama dengan kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang dalam menjayakan projek memanfaatkan rakyat. 

“Kerajaan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak khususnya kerajaan negeri. Kalau kerajaan negeri dapat menyediakan lokasi tanah yang strategik untuk kita mendirikan rumah PRR, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan dana melakukannya,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan