AM > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Tiga Negeri Berkurangan Petang Ini

10/10/2024 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) – Jumlah mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Johor mencatatkan penurunan pada petang ini berbanding pagi tadi, manakala bilangan mangsa di Perak kekal.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa berkurangan kepada 3,474 orang daripada 1,113 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 3,503 orang daripada 1,141 keluarga pagi ini.

“Kesemua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,227 orang daripada 412 keluarga di sembilan PPS, diikuti Kota Setar 1,260 orang daripada 392 keluarga di sembilan PPS, sementara di Pokok Sena melibatkan 517 orang daripada 184 keluarga di empat PPS dan Pendang merekodkan 470 orang daripada 125 keluarga di dua PPS.

Di PERLIS, jumlah mangsa sebanyak 525 orang daripada 166 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 773 orang daripada 245 keluarga pagi tadi, membabitkan beberapa kawasan terjejas di daerah Kangar dan Arau.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan terjejas ialah Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Belanga Pudak di Kangar manakala di Arau melibatkan Kampung Kubang Gajah dan Kampung Banggol Sena.

Beliau turut berkata ketika ini, kesemua mangsa telah ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Sena dan Kolej Vokasional masing-masing di Kangar manakala di Arau melibatkan SK Kubang Gajah dan SK Arau.

“Sementara itu, dua PPS iaitu di SK Bintong, Kangar dan SK Guar Nangka, Arau, masing-masing ditutup pada 2 petang dan 10.30 pagi tadi,” katanya.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah mangsa berkurangan kepada 17 orang daripada tiga keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 111 orang daripada 30 keluarga sebelumnya dan kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Batu Pahat.

“Tiga PPS iaitu SK Seri Anom dan SK Parit Markom di Pontian serta SK Sungai Linau di Kluang pula telah ditutup,” katanya dalam kenyataan dengan turut memaklumkan Sungai Sembrong di Parit Batu 2 Sembrong, Batu Pahat dan Sungai Ayer Hitam di Kampung Paya Embun, Pontian dilapor berada pada paras amaran, setakat petang ini. 

Sementara itu di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini kekal dengan 136 orang daripada 40 keluarga yang masih berlindung di dua PPS. 

“Sebanyak 71 orang daripada 20 keluarga berlindung di PPS SK Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai pula menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga," menurut sekretariat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan