AM > BERITA

Sultan Pahang Titah Kerajaan Pertimbang Semula Pembinaan R&R Di LTU

10/10/2024 10:30 PM

KUANTAN, 10 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Baginda bertitah keperluan R&R di lebuh raya berkenaan penting untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotorn di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

“Keputusan untuk tidak melaksanakan satu daripada komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya, keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuh raya berkaitan,” titah baginda dalam laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda berharap pihak berkaitan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur berkenaan bagi kepentingan orang ramai terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pahang telah membuat permohonan R&R dapat dibina di LTU (dalam daerah Bentong) bagi memberi kemudahan kepada pengguna.

Bagaimanapun, R&R tersebut tidak diteruskan dengan alasan kos pembinaan mencecah dua kali ganda daripada kos asal walaupun ia berada dalam skop projek dan hanya penyediaan platform serta infrastruktur sahaja yang dilaksanakan.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta Ahli Parlimen Pahang untuk membangkitkan isu pembinaan R&R berkenaan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan