AM > BERITA

Mohamad Sedia Berunding Dengan Menteri Luar Myanmar Berhubung Krisis

11/10/2024 10:58 AM

Oleh Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengambil inisiatif berunding dengan rakan sejawatnya dari Myanmar U Than Swe berhubung krisis di negara itu, yang telah berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

Beliau berkata pihak junta kini mula berlembut dan membuka pintu rundingan susulan tekanan yang diterima daripada beberapa kumpulan pemisah bersenjata di negara itu, yang melancaran serangan ke atas pasukan keselamatan antaranya di wilayah Arakan dan Shan.

“Tetapi sebelum saya bertemu dengan dia (Than Swe), biar pihak operasi dahulu yang berunding dan mereka (pihak operasi) akan melaporkan kepada saya dan saya akan laporkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Alhamdulillah ini satu perkembangan yang amat baik kerana dahulu mereka tutup pintu terus, mereka tak mahu berunding langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas selesai hari kedua Sidang kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini pada lewat Khamis malam.

Ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan Than Swe yang juga Timbalan Perdana Menteri Myanmar semasa Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN tahun depan, Mohamad berkata beliau berharap bahagian operasi dapat memulakan rundingan peringkat awal terlebih dahulu sebelum akhir tahun ini.

"Kita bukan memaksa mereka (junta) tetapi mereka yang mahu (berunding). Mereka telah pun menghantar isyarat kepada kami bahawa mereka memang menunggu supaya boleh berunding dengan Malaysia. Jadi semasa Malaysia menjadi pengurusi tahun depan, itu lebih memudahkan kita," katanya.

Mohamad berkata krisis di Myanmar merupakan antara topik utama perbincangan pada sidang kemuncak itu dengan pemimpin 10 negara anggota ASEAN terus memberi penekanan kepada Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai asas utama perundingan.

Krisis di Myanmar turut menjadi perhatian masyarakat antarabangsa dengan negara anggota ASEAN turut meluahkan kebimbangan terhadap kesan pergolakan itu yang menyebabkan pelarian dari negara itu memasuki negara-negara anggota serantau berjiran itu. Malaysia kini menempatkan kira-kira 200,000 pelarian Myanmar.

Kira-kira 4,000 orang terbunuh dan hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak kerajaan awam Myanmar digulingkan secara tiba-tiba dalam rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

Mohamad berkata Malaysia, Laos dan Indonesia ketika ini meneruskan mekanisme troika dalam usaha untuk mengembalikan semula demokrasi di negara bergolak itu. 

Troika yang diperkenalkan oleh Indonesia semasa mempengerusikan ASEAN pada tahun lepas, secara umumnya merujuk kepada tiga negara anggota yang dipilih untuk mengendalikan sesuatu isu bagi memastikan kesinambungan dalam usaha menangani isu tersebut.

Selain itu, Mohamad berkata konflik di Gaza dan Asia Barat turut dibincangkan pada sidang kemuncak berkenaan dengan negara-negara anggota ASEAN mengutuk serangan bertalu-talu rejim Israel yang kini turut merebak ke Lubnan.

Beliau berkata perkara itu turut ditekankan oleh Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, di sini Khamis, yang meminta campur tangan negara itu bagi menghentikan kekejaman Israel.

"Tetapi nampaknya tidak ada jawapan yang konkrit yang diberikan oleh pihak Blinken. Beliau sekadar menjawab bahawa semua pihak termasuk AS mahu melihat supaya perperangan ini tidak merebak dan diberhentikan segera. 

"Tetapi Israel begitu angkuh dan sombong, tidak mahu dengar cakap sesiapa dan kita berharap supaya negara-negara sekutu yang membekalkan senjata dan segala bantuan kepada mereka, sekarang faham sifat sebenar Israel ini,”  katanya.

Lebih 42,000 orang terbunuh sejak Israel melancarkan serangan ganas ke atas Gaza pada 9 Okt 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 97,700 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan