AM > BERITA

10 Kontena Dari Malaysia Berjaya Masuk Gaza

11/10/2024 01:03 PM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak 10 daripada 100 kontena yang mengandungi pelbagai sumbangan bantuan daripada rakyat Malaysia berjaya dibawa masuk dan diagihkan kepada penduduk Gaza dalam tempoh sebulan ini.

Ketua Misi Bantuan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza Dr. Sani Araby Abdul Alim berkata kontena tersebut yang antara lain berisi tepung gandum, pek penjagaan diri, kotak bantuan, dan ubat-ubatan, dibawa masuk secara berperingkat.

"Hampir tiga bulan lamanya kita menantikan kelulusan masuk, dan kita agak teruja dan sangat-sangat bersyukur. Saya kira ini adalah doa daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Dua kontena telah berjaya dibawa masuk bulan lepas, manakala lapan lagi berjaya masuk pada Jumaat (4 Okt), dengan bantuan yang terkandung di dalamnya diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya selepas Majlis Pelepasan Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di sini hari ini, yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Malaysia sebelum ini menghantar 100 kontena yang mengandungi 1,358 tan barangan sumbangan menerusi misi bantuan kemanusiaan keempat yang dilancarkan pada Mac lepas.

Pelepasan misi bantuan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan diketuai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Mengulas lanjut, Dr. Sani Araby, yang juga Ketua Eksekutif MAPIM berkata bahawa 10 kontena bantuan tersebut dibawa masuk melalui Rafah, kemudian ke Karem Al-Shalom sebelum tiba di Gaza.

"Buat masa ini, kami sedang berusaha membawa masuk baki 90 kontena melalui jalan darat menerusi Jordan. Kami telah berurusan dengan pihak berkaitan sejak dua bulan lalu.

"Saya menjangkakan kita akan menerima berita baik, mungkin dalam tempoh sebulan akan datang," katanya.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata Program Jelajah Peduli Ummah yang dilancarkan hari ini merupakan inisiatif yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), serta Zus Coffee.

“Inilah contoh teladan bagaimana masyarakat kita, tanpa mengira latar belakang, mampu berganding bahu demi mencapai satu matlamat yang sama, iaitu menyantuni dan membantu ummah yang memerlukan.

"Matlamat utama jelajah ini adalah untuk menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf, B40, para pelajar, anak-anak yatim, orang tua, Orang Asli, serta mangsa banjir dan pelbagai lagi segmen masyarakat yang memerlukan perhatian khusus," katanya.

Sani Araby menambah bahawa MAPIM menggerakkan 3,000 sukarelawan serta 20 aset termasuk dapur dan klinik bergerak ke seluruh Semenanjung bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan.

Katanya inisiatif kemanusiaan menerusi Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah dilaksanakan bermula bulan ini sehingga Februari tahun depan dengan sasaran penerima bantuan kira-kira 100,000 orang.

Sepanjang program itu berlangsung, beberapa pengisian utama akan dilaksanakan iaitu Misi Ummah Bantu Ummah, Karnival Peduli Ummah: Sejahtera Insan dengan Nilai Al-Falah, Majlis Selawat dan Solat Hajat, Ziarah Mu’saadah Dakwah dan Jiwa Murni Al-Falah serta Misi Bantu Asnaf dan Anak Yatim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan