BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 AM > BERITA

Peruntukan RM79.2 Juta Bagi Perkhidmatan SBST Di Kuching - Loke

11/10/2024 05:14 PM

KUCHING, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak 56 bas disediakan menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di sekitar bandar raya ini melibatkan peruntukan RM79.2 juta bagi tempoh lima tahun, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata sistem pengangkutan awam yang bakal bermula tahun hadapan itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Sistem Pengesanan Global (GPS) dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

“Operator perkhidmatan bas ini akan dibayar oleh kita dan bajet kita lebih kurang RM16 juta setahun. Jadi kita tahu berapa kita perlu bayar mereka secara bulanan ikut perjanjian.

“Sekiranya mereka tidak ikut perjanjian ditetapkan, bayaran kepada pihak operator akan dipotong. Kita akan semak GPS mereka sama ada mereka beroperasi dan sejauh mana bas itu bergerak dan waktu operasi,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di sini hari ini. 

Menurut beliau, bagi mengelakkan pembaziran sumber perkhidmatan bas, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi memastikan laluan bas SBST tidak bertindih dengan laluan perkhidmatan bas hidrogen yang digerakkan oleh kerajaan negeri.

Loke turut memberi jaminan harga tambang bas SBST adalah berpatutan serta tidak membebankan pengguna. 

“Penetapan harga tambang akan dibuat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Kita akan bincang dengan mereka dan sudah tentu tidak akan membebankan pengguna kerana kita sudah bayar kosnya. Jadi kotak tambang  itu nanti hanya untuk menampung perbelanjaannya (program),” katanya. 

Terdahulu, Loke menyaksikan majlis menandatangani perjanjian SBST antara Kerajaan Persekutuan dan Biaramas Express Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat berpangkalan di Sarawak.

Perkhidmatan bas bagi program SBST di Kuching akan menyediakan 10 laluan secara keseluruhan iaitu ke Bau, Serian, Bako, Kampung Benuk, Batu Kawa, King Centre, Muara Tebas, Taman Malihah, Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Matang 2.

Program SBST akan diperkenalkan di setiap ibu negeri di seluruh Malaysia bertujuan meningkatkan kebolehcapaian, kepercayaan dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan