KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Atlet menembak berpengalaman negara Johnathan Wong menganggap penyertaan dalam beberapa kejohanan bertaraf dunia sebagai medan penting untuk mempersiapkan diri bagi memburu pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September depan.
Atlet berusia 32 tahun itu berkata penyertaan pada Siri Piala Dunia di Jerman pada Mei selain di Hangzhou, China pada Julai depan menjadi platform terbaik untuk menilai tahap prestasi semasa menjelang temasya sukan yang berlangsung empat tahun sekali itu.
Beliau berkata pendedahan berterusan di pentas antarabangsa amat kritikal, lebih-lebih lagi dengan dominasi kuat atlet Asia dalam acara menembak di peringkat dunia.
“Di peringkat Sukan Olimpik pun kita dapat lihat atlet Asia sangat dominan. Jadi, Sukan Asia memang sangat mencabar tetapi saya percaya peluang itu tetap ada jika saya mampu kekalkan konsistensi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Johnathan, yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik 2016 dan Sukan Olimpik 2024 berkata keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi memberangsangkan sebelum ini, termasuk mara ke final Sukan Asia 2022 serta dua kali layak ke peringkat akhir kejohanan Asia.
Pada masa sama, beliau tidak menafikan cabaran besar untuk mencipta sejarah sebagai penembak pertama negara membidik pingat emas pada Sukan Asia kerana pencapaian terbaik Malaysia setakat ini hanya pingat perak yang diraih Muhammad Ezuan Nasir Khan dan Nur Suryani Mohamed Taibi (raifal berpasukan) pada Sukan Asia 2014.
“Peluang itu memang ada tetapi ia bukan sesuatu yang mudah. Saya perlu bekerja lebih keras dan gunakan setiap kejohanan sebagai persiapan terbaik,” katanya.
Anak kelahiran Melaka itu turut mengakui fokus utamanya kini adalah memperkemaskan aspek teknikal dan mental bagi memastikan beliau berada pada tahap terbaik menjelang saingan di Aichi-Nagoya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial