BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 AM > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Kedah Dan Perlis Berkurang Petang Ini

11/10/2024 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis mencatatkan penurunan petang ini berbanding pagi tadi, manakala bilangan mangsa di Perak dan Johor kekal.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 3,390 orang setakat 4 petang ini, berbanding 3,655 orang pagi tadi dan semuanya ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena serta Pendang.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,699 orang, diikuti Kubang Pasu (613), Pokok Sena (563) dan Pendang (515).

Di PERLIS, Pengarah APM Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurang daripada 519 orang pagi tadi kepada 146 petang ini dan semuanya ditempatkan di dua PPS masing-masing satu di daerah Kangar dan Arau.

Beliau berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah, Arau dan Kolej Vokasional Kangar, Kangar ditutup 12.40 tengah hari tadi. 

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Kerian kekal 136 orang dan semuanya ditempatkan di dua PPS.

Sementara itu, Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan jumlah mangsa banjir di JOHOR kekal 17 orang seperti pagi tadi dan mereka ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Batu Pahat. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan petang ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di lapan negeri hingga 7 petang ini.

MetMalaysia menyatakan, cuaca itu diramal melanda Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu dan Pahang (Kuantan).

Keadaan sama juga diramal di Putrajaya dan Selangor melibatkan Kuala Langat dan Sepang serta Johor (Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Turut diramal mengalami cuaca buruk adalah Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan dan Betong (Pusa dan Betong) dan di pedalaman Sabah (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu), Tawau serta Sandakan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan