AM > BERITA

Wilayah Persekutuan Teroka Kerjasama Pintar Dengan Huawei, BYD

12/10/2024 10:45 AM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengadakan perbincangan dengan dua syarikat global terkemuka Huawei Technologies  Co Ltd dan BYD bagi meneroka kerjasama pintar untuk pembangunan Wilayah Persekutuan yang lebih mampan.

Kedua-dua syarikat itu bukan sahaja memainkan peranan utama dan kemajuan teknologi di China malah telah melebarkan sayap ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Dr Zaliha yang dalam lawatan rasmi ke China berkata beliau mengadakan perbincangan bersama Naib Presiden Jabatan Hal Ehwal Global Huawei Wang Ke pada hari kelima lawatannya semalam.

Beliau berkata Huawei yang mula bertapak dalam industri lebih 40 tahun lepas adalah peneraju dalam teknologi komunikasi, peranti elektronik dan peralatan 5G global serta terkenal dengan pelaburan dalam teknologi awan, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian bandar pintar.

“Saya ditunjukkan bagaimana teknologi Huawei digunakan dalam pelbagai industri di seluruh dunia antaranya bandar pintar, pusat data awan, perkhidmatan awam, lapangan terbang pintar, inovasi bandar, perlombongan dan juga penyelesaian untuk sektor minyak dan gas.

“Saya juga ditunjukkan bagaimana satu platform beroperasi sebagai ‘otak’ yang memberikan satu ‘bird-eye’s view’ kepada kerajaan yang akhirnya boleh diperincikan kepada ‘data driven centralised decision making’,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata teknologi seumpama itu berpotensi dilaksanakan di tiga Wilayah Persekutuan ke arah kelestarian alam dan pewujudan bandar pintar selaras visi Bandar CHASE (Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam).

Dr Zaliha berkata beliau juga dibawa melawat ke Smart Longgang District Council serta menyaksikan secara langsung bagaimana pengurusan sebuah bandar pintar dikendalikan melalui Pusat Operasi Bersepadu.

Dalam pertemuan bersama syarikat BYD pula, Dr Zaliha berkata pihaknya diberikan penerangan mengenai BYD SkyShuttle iaitu sebuah sistem transit bandar tanpa pemandu yang dikuasakan oleh elektrik selain membantu mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan usaha global untuk pengangkutan lebih lestari.

“Saya lihat teknologi ini sekiranya diaplikasikan di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan dapat meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat dan dalam masa sama menjadikan sistem pengangkutan awam kita lebih mesra alam,” katanya yang sebelum ini turut mengadakan perbincangan antaranya dengan syarikat BAIDU dan Tencent.

Beliau dalam masa sama turut berkesempatan melihat model BYD Yanwang U8, sebuah kenderaan canggih yang kalis air dan mampu meredah air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan