AM > BERITA

717 Projek Naik Taraf Sekolah Daif Siap Sepenuhnya - KPM

12/10/2024 11:31 AM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Sebanyak 717 daripada 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah disiapkan sepenuhnya, setakat semalam.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 183 projek, kini sedang dalam pembinaan, 176 berada pada peringkat prabina dan 15 lagi sedang dinilai semula.

“Tempoh pembinaan bagi pelaksanaan projek ini adalah antara enam hingga 36 bulan, tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak,” menurut kenyataan KPM.

Kenyataan KPM memaklumkan sehingga tahun 2024, sebanyak 1,091 projek naik taraf berkenaan diluluskan dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion, dengan 339 projek dilaksanakan di Sabah, 400 di Sarawak dan 352 lagi di Semenanjung Malaysia.

Menurut kenyataan itu dalam usaha memperkasakan pelaksanaan projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras pelaksanaan projek di pelbagai peringkat, serta melaporkan status projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI.

“Kementerian Pendidikan Malaysia terus menjadikan inisiatif projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara sebagai keutamaan, bagi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid dapat dipertingkatkan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan