AM > BERITA

Belanjawan 2025: Kemudahan Infrastruktur, Kos Sara Hidup Antara Keperluan Nelayan Di Port Dickson

12/10/2024 11:36 AM

SEREMBAN, 12 Okt (Bernama) -- Kemudahan jeti, stor serta peningkatan elaun sara hidup antara keperluan nelayan di perairan Port Dickson yang diharapkan diberi perhatian dalam Belanjawan 2025.

Rozali Abd Rahim, 58, berkata komuniti nelayan di perairan Port Dickson mengharapkan kerajaan Persekutuan atau negeri dapat menyediakan kemudahan jeti mencukupi bagi memudahkan nelayan melakukan aktiviti penangkapan ikan yang lebih efisien.

Berpengalaman 15 tahun sebagai nelayan, beliau berkata kemudahan jeti akan membolehkan nelayan menyimpan peralatan perikanan seperti bot, jaring dan alat tangkapan lain bagi melindungi barangan itu daripada cuaca dan kerosakan.

“Selain itu saya berharap Belanjawan kali ini dapat menyediakan bantuan kewangan kepada nelayan berusia 40 tahun ke atas. Sebelum ini bantuan memang ada dan terbuka kepada nelayan muda, saya berharap kali ini bantuan kewangan itu diperluas lagi had umur,” katanya kepada Bernama.

Ketua nelayan Bukit Palong, S.Sugumaran, 53, pula berkata antara keperluan mendesak komuniti nelayan di kawasannya ialah tambahan pondok simpanan bagi memudahkan nelayan menyimpan pukat serta barangan keperluan lain.

Menurutnya ketika ini terdapat sebuah pondok simpanan barangan yang mempunyai hanya lima ruangan digunakan 11 nelayan di kawasan tersebut.

Dalam pada itu seorang lagi nelayan, Karim Daud berharap kerajaan dapat menaikkan elaun kos sara hidup kepada nelayan berikutan kos barangan semakin meningkat.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe turut menyatakan harapan agar Belanjawan kali ini akan memperkenalkan perancangan serta peruntukan holistik yang dapat menyokong program membantu meningkatkan ekonomi nelayan di negeri ini.

Beliau berkata bagi meningkatkan ekonomi hasil laut, pelbagai program dilaksanakan pihaknya termasuk melabuhkan peralatan peranti pengumpulan ikan (unjam), menanam pokok bakau dan melepaskan anak benih ikan serta ketam di perairan Port Dickson secara berterusan.

“Kami berharap dapat menerima peruntukan yang lebih kali ini bagi menjalankan aktiviti-aktiviti untuk meningkatkan hasil laut. 

Peruntukan ini bukan untuk kegunaan jabatan semata-mata, sebaliknya kita kembalikan semula kepada rakyat dengan mengadakan pelbagai program bagi membantu nelayan di negeri ini sekali gus memperkasakan sumber perikanan sedia," katanya sambil menambah jabatan itu menerima peruntukan RM800,000 bagi pelaksanaan program pembangunan tahun ini.

Beliau berkata usaha kerajaan yang konsisten juga membantu Port Dickson menjadi penyumbang utama kepada tangkapan negeri yang mencecah 502.6 tan metrik dengan pengeluaran ikan secara keseluruhan bernilai RM10.42 juta tahun lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan