AM > BERITA

Agong, Raja Permaisuri Berkenan Berangkat Ke MTHQA Ke-64

12/10/2024 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah juga akan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang tilawah dan hafazan al-Quran pada MTHQA ke-64 yang melabuhkan tirai malam ini selepas berlangsung selama lapan hari bermula 5 Okt lepas.

Mohd Na’im ketika Sembah Ucapan Menjunjung Kasih berkata keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua amat bermakna kepada semua.

Beliau berkata MTHQA tahun ini, yang bertema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’, adalah ikhtiar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyeru umat Islam agar kembali menghayati nilai-nilai Qurani.

MTHQA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) menampilkan 92 peserta dari 71 negara yang terdiri daripada 53 peserta tilawah dan 39 hafazan.

Johan bagi Kategori Tilawah al-Quran serta Kategori Hafazan al-Quran, masing-masing bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM40,000 daripada kerajaan berserta kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selain menerima hadiah iringan dan sijil.

Penilaian MTHQA tahun ini melibatkan 15 hakim dari pelbagai negara selain mengekalkan beberapa hakim iaitu dari Maghribi dan Turkiye selain mengetengahkan muka baharu dari Arab Saudi dan Indonesia.

Proses penilaian pula meliputi aspek tajwid, fasahah, kualiti suara dan ingatan khususnya bagi peserta hafazan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan