AM > BERITA

Belanjawan 2025: Perkukuh Sektor Tanaman Padi Untuk Hapuskan Kemiskinan Di Sabah

13/10/2024 10:20 AM

KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) -- Sektor pertanian, khususnya tanaman padi di luar bandar dan pedalaman Sabah, memerlukan lebih banyak peruntukan dan insentif dalam Belanjawan 2025, bagi memastikan sektor tersebut dapat menjadi pemangkin kepada penghapusan kemiskinan terutama kemiskinan tegar, di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, berkata tanah yang luas dimiliki penduduk Sabah perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui Belanjawan 2025 untuk merealisasikan hasrat ini.

"Kita berharap Belanjawan 2025 membawa perubahan yang ketara. Kita tidak mahu belanjawan kita kekal sama seperti tahun-tahun sebelumnya tanpa sebarang perubahan atau perancangan baharu.

"Kita mahu peruntukan untuk sektor pertanian ditingkatkan agar Lembaga Padi dan Beras Sabah, yang telah diwujudkan semula dapat digerakkan dengan lebih berkesan bagi membantu pesawah meningkatkan ekonomi mereka. Ini penting supaya rakyat kita tidak lagi hidup dalam kemiskinan," katanya.

Menurut Jeffrey, rakyat Sabah terutamanya di luar bandar dan pedalaman, memiliki tanah mereka sendiri. Oleh itu, kerajaan negeri berhasrat membantu mereka memanfaatkan tanah tersebut sepenuhnya untuk meningkatkan pendapatan dan tahap ekonomi, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Kadar Sara Diri (SSL) beras di Sabah kini hanya mencapai 22 peratus berbanding keperluan penduduk, jauh lebih rendah berbanding tahun 1980 yang mencatatkan kadar 51 peratus. Ini menunjukkan terdapat peluang pasaran yang luas, hampir 80 peratus, bagi meningkatkan pengeluaran beras untuk memenuhi keperluan penduduk.

Pada Julai lalu, seramai 22,510 ketua isi rumah yang berada dalam senarai miskin tegar sehingga 31 Jan tahun lepas berjaya dikeluarkan daripada status tersebut melalui Fasa Satu Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar di Sabah.

Walau bagaimanapun, berdasarkan statistik Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Jabatan Ketua Menteri, masih terdapat 4,634 ketua isi rumah yang kekal berada dalam kategori miskin tegar sehingga Julai tahun ini,.

Kota Belud, yang memiliki kawasan jelapang padi terbesar di Sabah dengan keluasan 7,000 hektar, menjadi kawasan penting dalam usaha ini. Para pesawah di kawasan tersebut berharap agar kerajaan dapat memberikan bantuan dan insentif yang sesuai melalui Belanjawan 2025.

Johneysius Sinson, 41, seorang pesawah dari Kampung Tampasuk 1, berkata masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik sering menyebabkan banjir di kawasan sawah, menghalang tanaman padi dilakukan dengan berkesan.

Beliau berharap Belanjawan 2025 akan menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara infrastruktur sawah serta melaksanakan langkah tebatan banjir di kawasan terlibat.

"Saya ada lebih dua hektar sawah, tetapi sukar untuk mengusahakannya. Walaupun kami boleh menanam dua kali setahun, menanam sekali pun sukar. Kerajaan memang ada membina sistem perparitan, tetapi ia tidak diselenggara dengan baik. Saya berharap Belanjawan 2025 dapat mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau juga berharap Belanjawan 2025 akan memperkenalkan inisiatif teknologi baharu, benih dan baja berkualiti serta latihan kepada pesawah bagi meningkatkan pengeluaran padi.

Main Gandilau, 63, pesawah dari Kampung Tampasuk 2, berkata Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan yang dilaksanakan di Kota Belud merupakan inisiatif yang mampu membantu pesawah. Beliau berharap program tersebut dapat diperluaskan ke kawasan lain di jelapang padi tersebut.

"Kami di sini bukan orang kaya. Apabila kami dapat menghasilkan lebih banyak padi, pendapatan kami meningkat. Setakat ini, program SMART SBB telah melibatkan 100 hektar sawah, dan saya berharap Belanjawan 2025 akan meluaskan program ini supaya lebih ramai pesawah dapat menikmati manfaatnya," katanya.

Pada 14 Julai lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu melancarkan SMART SBB Ala Sekinchan di Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud.

Projek rintis ini bertujuan meningkatkan hasil tanaman padi dengan menggunakan teknologi dan kaedah terbaik seperti yang diamalkan di Sekinchan, Selangor.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan