AM > BERITA

Geran Khas Bagi Koperasi Komuniti India Yang Hadir Ke PKKI 2024 - Ramanan

13/10/2024 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan geran khas bagi koperasi komuniti India berjumlah sehingga RM30,000.

Timbalan Menteri KUSKOP Datuk Seri R. Ramanan berkata permohonan dana tersebut khusus kepada koperasi yang layak dan hadir ke Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) 2024  yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.

“Dana ini bertujuan untuk memperkasa aktiviti ekonomi koperasi dan maklumat berkaitan kaedah dan syarat permohonan boleh didapatI daripada pihak SKM selepas persidangan.

“Saya yakin ia dapat menaikkan semangat para koperator yang hadir ke PKKI 2024 pada hari ini untuk meningkatkan keupayaan koperasi seterusnya memberi manfaat kepada anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan geran khas berkenaan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000 pada majlis perasmian PKKI 2024.

Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif KUSKOP menerusi agensi di bawahnya bagi membantu usahawan kaum India, Ramanan berkata sehingga 30 Sept lepas sebanyak RM136 juta peruntukan tambahan telah disalurkan.

“Program-program ini bertujuan memperkasakan usahawan India ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat India dalam negara," katanya.

Beliau turut menyampaikan replika cek Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) berjumlah lebih RM7 juta kepada tiga koperasi terbaik iaitu Koperasi Serbaguna Kebangsaan Berhad, Koperasi Guru-guru Tamil Negeri Sembilan Berhad dan Koperasi Nesa Pelbagai Berhad.

TMP-SKM bertujuan membantu koperasi berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang diselia oleh SKM dalam penyediaan dana untuk melaksanakan projek yang berdaya maju.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan