AM > BERITA

Program Jelajah Promosi Produk Peladang Di Lotus's Perkasa Usahawan Tempatan

13/10/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Program Jelajah Promosi Produk Peladang @ Lotus’s yang akan berlangsung di lima negeri bermula 12 Okt hingga 29 Dis ini bakal memperkenalkan produk keluaran jenama Peladang bagi memperluas aksesibiliti produk itu ke pasaran lebih luas.

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam satu kenyataan memaklumkan objektif utama program itu adalah untuk mempromosikan produk Peladang termasuk Coffee Peladang (PO Coffee) serta memperkenalkan jenama Peladang Outlet (PO) ke pasaran luar.

“Antara produk yang dijual termasuk produk Industri Asas Tani (IAT) kering dan sejuk beku serta jualan sayur-sayuran dan buah-buahan dari PO di setiap negeri yang terlibat. Terdapat juga produk yang akan dijual dalam bentuk kombo dengan harga promosi seperti kombo sayuran dan kombo IAT.

“Program itu akan diadakan di Setia Alam, Selangor bermula 12 hingga 20 Okt; di Bandaraya Melaka dari 9 hingga 17 Nov; di Manjung, Perak dari 23 Nov hingga 1 Dis; di Sungai Petani, Kedah dari 7 hingga 15 Dis; dan di Tebrau, Johor dari 21 hingga 29 Dis,” menurut kenyataan itu.

LPP juga telah mewujudkan lapan PO Coffee di seluruh negara iaitu di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Negeri Sembilan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Cameron Highlands, Pahang, PPK Changlun, Kedah, PPK Seri Pulau dan PPK Pokok Sena, Pulau Pinang, PPK Kuala Kangsar, Perak, PPN Melaka, dan PPK Rengit, Johor.

Bagi program ini, LPP hanya melibatkan lima PO Kafe yang diuruskan secara berpusat dan diterajui oleh PPN Negeri Sembilan.

“Tujuan pewujudan PO Kafe adalah untuk menambah nilai perkhidmatan jualan dengan menyediakan produk kopi yang dapat menarik perhatian pelanggan untuk membeli di dalam premis PO.

“Semua PO Coffee ini menggunakan jenama, harga, bahan, pembungkusan, peralatan, dan teknik penyediaan yang seragam yang telah dibekalkan oleh PO PPN Negeri Sembilan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, produk makanan pencuci mulut  di PO Kafe dibekalkan oleh PPK Cameron Highlands bagi melengkapkan jualan. 

Sesi uji rasa produk usahawan turut diadakan sepanjang program dan setiap LPP negeri yang terlibat akan menyediakan usahawan mereka untuk sesi berkenaan.

Produk-produk yang telah diuji rasa itu akan dijual di rak PO sepanjang program berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan