AM > BERITA

Program MADANI Rakyat 2024 Berjaya Capai Matlamat, Objektif Kerajaan - Mohamad Fauzi

14/10/2024 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 berjaya mencapai matlamat dan objektif yang disasarkan oleh kerajaan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata setiap penganjuran program berkenaan sejak permulaannya pada Februari lepas sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat jelata yang ingin tahu mengenai usaha dan prestasi kerajaan setakat ini.

“… memang mencapai (matlamat dan objektif) kerana kehadiran (setiap Program MADANI Rakyat) melebihi 200,000 orang, itu yang kita harapkan.

“Melalui Program MADANI Rakyat, orang ramai mendapatkan penjelasan (berkenaan inisiatif kerajaan) terus daripada setiap agensi kerajaan, bukan melalui orang tengah atau parti ketiga,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program MADANI Rakyat tahun ini selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.

Mohamad Fauzi berkata pelaksanaan program itu di Sabah melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sebanyak lapan program tumpuan disediakan iaitu Kesejahteraan Rakyat dilaksana Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Agenda Perpaduan (Kementerian Perpaduan Negara), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Karnival Kerjaya (Kementerian Sumber Manusia) dan Perkhidmatan Kerajaan Negeri (kerajaan Sabah).

“Selain itu Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Perkhidmatan Kesihatan (Kementerian Kesihatan) dan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) dilaksana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.

Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang bertemakan ‘Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna’ akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat (18 Okt) di pekarangan Kompleks Sukan Likas dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan