AM > BERITA

Agong, Raja Permaisuri Diberi Sambutan Negara Di Istana Nurul Iman

14/10/2024 03:25 PM

Daripada Haslinda Zainal

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah diberi sambutan negara di Istana Nurul Iman di sini hari ini, bersempena dengan lawatan negara Seri Paduka Baginda berdua ke Brunei selama tiga hari bermula semalam.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke istana terbesar di dunia itu kira-kira 11 pagi disambut oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ke peterana diraja untuk menerima Hormat Diraja oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Tentera Darat Diraja Brunei.

Lagu kebangsaan Malaysia “Negaraku” dan lagu kebangsaan Brunei “Allah Peliharakan Sultan” kemudian dimainkan, diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Sultan Ibrahim diiringi Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Tentera Darat Diraja Brunei.

Sejurus selepas itu, Seri Paduka Baginda berdua diperkenalkan kepada kerabat diraja Brunei dan Menteri Kabinet serta ketua perwakilan asing di negara itu manakala Sultan Brunei dan Raja Isteri turut diperkenalkan kepada delegasi Malaysia.

Berangkat sama dalam istiadat itu ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Menteri Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, serta pegawai-pegawai kanan dari Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan. 

Usai istiadat sambutan negara, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat ke Cheradi Laila Kenchana, di istana tersergam indah itu yang terletak di tebing Sungai Brunei, bagi sesi Kunjungan Menghadap ke atas Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Selepas itu, Seri Paduka Baginda berdua serta Tunku Idris Iskandar diiringi ke Cheradi Ratna Kenchana di istana yang mempunyai keluasan 200,000 meter persegi itu, untuk persembahan cenderahati sebelum berangkat pulang ke hotel penginapan.

Pada sebelah petang, Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat menyempurnakan Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Malam ini, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan diraikan dalam Majlis Santapan Negara yang dianjurkan oleh Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.

Lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Jan lepas ini adalah bagi memenuhi persilaan Sultan Hassanal Bolkiah.

Kunjungan yang dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei itu akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.

Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan