AM > BERITA

Kunjungan Kapal China Ikut Saluran Diplomatik, Tidak Langgar Peraturan Malaysia - Mohamad

14/10/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kunjungan dua kapal tentera dari China bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang pada 5 Okt lepas dibuat mengikut permohonan diplomatik daripada kedutaan China dan tidak melanggar sebarang peraturan Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia juga selaras Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dengan kunjungan itu telah mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan dan kelulusan diplomatik Kementerian Luar untuk kapal berlabuh.

“Yang lain-lain adalah urusan kerajaan negeri tetapi permohonan diplomatik daripada kedutaan China jelas ada memohon,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai pendirian dan tindakan kerajaan susulan sambutan kedatangan kapal berkenaan di Pulau Pinang yang disifatkannya memberikan mesej yang salah kepada rakyat. 

Mohamad berkata kunjungan itu tidak melibatkan sebarang pelanggaran peraturan negara ini, namun sekiranya ada, perkara itu akan disiasat.

Dalam pada itu, Mohamad berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

Beliau berkata Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan menerusi pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara.

Mohamad juga berkata Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027 dengan antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC).

“Dalam hubungan ini, Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini, jika dipersetujui, akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.

“Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai tindakan kementerian di peringkat antarabangsa dalam menangani isu kedaulatan wilayah maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan memandangkan suhu konflik kini kian memuncak terutama melibatkan negara jiran seperti Filipina.

Mengenai dakwaan isu kebocoran nota diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Mohamad berkata pihak kementerian masih menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

“Selalunya dokumen kita ada watermark (tera air) tetapi yang dikeluarkan itu tiada watermark. Kalau diperingkat kita mesti ada watermark. Jadi kita jalankan siasatan sama ada dikeluarkan pihak lain selain kedutaan atau pihak Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan nota diplomatik bertarikh 18 Feb itu diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan