AM > BERITA

Johari Adakan Lawatan Rasmi Ke Arab Saudi, Fokus Kerjasama Parlimen Dan Kepengerusian ASEAN 2025

31/12/2024 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi baru-baru ini dan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Speaker Majlis Syura Kerajaan Arab Saudi Sheikh Dr Abdullah bin Mohammed bin Ibrahim Al Sheikh.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pertemuan Johari dengan rakan sejawatannya itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan mempererat kerjasama antara Parlimen Malaysia dan Majlis Syura Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, perbincangan tertumpu kepada kepentingan mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan pertukaran budaya selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk memperkasa kerjasama di peringkat global dan rantau.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat turut mengambil kesempatan dalam pertemuan ini untuk membincangkan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025. 

“Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara sahabat, termasuk Arab Saudi, dalam menjayakan kepengerusian ini dan memastikan ASEAN terus memainkan peranan strategik dalam menangani isu-isu serantau serta global,” menurut kenyataan itu.

Johari dalam kenyataan sama berkata Malaysia melihat hubungan erat dengan Arab Saudi sebagai satu keutamaan dalam usaha memperkasa peranan ASEAN sebagai blok ekonomi yang kukuh dan sebagai suara yang menyatukan dunia Islam.

“Kami berharap kerjasama ini dapat membuka ruang kepada peluang baharu, terutamanya dalam memperkukuh daya tahan ekonomi, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan diplomasi serantau,” katanya.

Parlimen Malaysia turut memaklumkan dalam rangka lawatan itu, Johari turut melawat Pameran Antarabangsa dan Muzium Biografi Nabi dan Tamadun Islam yang merupakan inisiatif unik Arab Saudi untuk memperkenalkan biografi Rasulullah SAW dan kegemilangan tamadun Islam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu juga berpeluang melawat At Turaif, tapak warisan dunia UNESCO di Ad Diriyah, yang merupakan ibu kota pertama Kerajaan Arab Saudi sehingga 1818.

“Lawatan ini membuka ruang untuk memahami lebih mendalam sejarah penempatan Bani Hanifah, yang membawa kepada penubuhan Diriyah dan seterusnya kelahiran Negara Saudi Pertama.

Johari turut mengadakan sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Riyadh bagi mendengar pandangan serta berkongsi perkembangan terkini negara, selain menekankan peranan penting rakyat Malaysia di luar negara sebagai duta kecil yang membawa nama baik negara di peringkat antarabangsa.

Kenyataan itu yang memetik Johari sebagai berkata sumbangan dan komitmen mereka bukan sahaja memperkukuh jaringan diplomatik, tetapi juga membantu membuka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor.

“Lawatan rasmi ini melambangkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomasi dengan Kerajaan Arab Saudi, serta memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang yang dapat membawa manfaat kepada kedua-dua negara dan umat Islam sejagat,” menurut kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan