AM > BERITA

Teater 'Tok Janggut 13 Liang' Bakal Dipentaskan Jumaat Ini

14/10/2024 06:16 PM

KOTA BHARU, 14 Okt (Bernama) -- Teater ‘Tok Janggut 13 Liang’ yang diadaptasi daripada karya agung Sasterawan Negara Allahyarham S. Othman Kelantan berjudul 'Perwira' bakal dipentaskan di Dewan Utama Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada 18 dan 19 Okt.

Pengarah 'Teater Tok Janggut 13 Liang’ Jihan Meghaa Ismail berkata teater berkenaan mengangkat kisah perjuangan Tok Janggut atau nama sebenarnya Mat Hassan Mat Munas dalam menentang ketidakadilan Inggeris berhubung undang-undang cukai yang ternyata membebankan rakyat.

Beliau berkata tiada bayaran dikenakan dengan Dewan Utama, USM yang menjadi lokasi pementasan teater itu mampu menampung lebih 1,000 penonton. 

"Kita harap orang ramai khususnya rakyat Kelantan sama-sama hadir menonton teater ini kerana jalan ceritanya sangat menarik dan unik mengenai perjuangan pahlawan Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air," katanya dalam sidang media Pementasan Karya Agung 'Teater Tok Janggut 13 Liang' di sini hari ini.

Teater berkenaan menampilkan barisan pelakon terkemuka seperti Datuk Hilal Azman yang memegang watak utama sebagai Tok Janggut dan Hasnul Rahmat, pemerintah British yang dikenali 'Lagham Carter'.

Penulis skrip 'Teater Tok Janggut 13 Liang' Noormaziah Yaacob atau dikenali Lamia Aimal berkata beliau mengambil masa hampir dua minggu membuat kajian kerana perlu memastikan ketepatan jalan cerita.

"Kita cuba ketengahkan kisah pahlawan Tok Janggut kerana ia sejarah perjuangan di Kelantan dan sebenarnya ada kaitan dengan generasi kini untuk sama-sama menjaga tanah air, bangsa dan agama terutama orang Melayu supaya mengekalkan perpaduan.

"Saya yakin teater ini mendapat sambutan kerana ia memberi pengajaran kepada kita semua untuk sama-sama berjuang mempertahankan negara daripada ditindas serta dijajah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan