AM > BERITA

ECERDC Meterai Perjanjiian Dengan Kelantan, Perkukuh Industri Kambing Tenusu

14/10/2024 05:54 PM

KOTA BHARU, 14 Okt (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan Kerajaan Kelantan untuk memperkukuhkan industri kambing tenusu di negeri berkenaan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata Kelantan mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan kerjasama dengan ECERDC untuk membangunkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh adalah langkah strategik.

Beliau berkata GMCC bukan sahaja akan membuka peluang ekonomi kepada penternak tempatan, tetapi juga meletakkan negeri itu sebagai  pemain utama dalam sektor halal dan tenusu di Malaysia.

“Kami komited untuk bekerjasama dengan ECERDC bagi memastikan kejayaan projek ini, dan berharap lebih banyak usaha yang memberi manfaat kepada rakyat Kelantan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat dalam kenyataan sama berkata pembangunan GMCC ini adalah pencapaian penting bagi sektor ternakan di Kelantan.

Beliau berkata operator induk dijangka dilantik pada Januari 2025 oleh kerajaan negeri dan kemudahan siap pada Februari 2025.

“Kerjasama dengan kerajaan negeri ini memodenkan industri susu kambing, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pemain industri yang kompetitif dalam pasaran tenusu negara,” katanya.

ECERDC pula dalam kenyataan itu berkata kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan GMCC, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memajukan sektor pertanian di wilayah berkenaan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

ECERDC berkata GMCC ini berfungsi sebagai hab pusat pengumpulan susu kambing utama dengan kawalan kualiti yang lebih baik, saluran pemprosesan dan pengedaran lebih cekap serta meningkatkan daya saing pasaran.

“Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECERDC Kelantan hari ini, perjanjian kerjasama telah ditandatangani seterusnya menandakan fasa seterusnya untuk memperkukuhkan industri asas tani di Kelantan, khususnya dalam sektor ternakan.

“GMCC dijangka dapat mengumpul 730,000 liter susu kambing segar menjelang 2029 dan jumlah pengeluaran susu kambing ini bukan sahaja dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang kian meningkat tetapi juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor kambing tenusu di negeri Kelantan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan