AM > BERITA

MTL: KPKM Pastikan Bekalan Sayur Mencukupi

14/10/2024 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memastikan bekalan sayur-sayuran mencukupi susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) di beberapa negeri menjelang hujung tahun ini. 

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya juga akan memantau harga sayur-sayuran di peringkat peladang yang dijangka boleh meningkat pada musim tersebut.

"Kita sentiasa pantau. Sebab itu kita ada macam stok penimbal dan kita usaha jika tidak cukup (bekalan) tempatan, kita cuba import. Yang penting kita mahu (bekalan) sayur ada dan terjamin. Soal harga, kita cuba kawal sebaik mungkin," katanya. 

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan replika kunci 12 buah cold truck dan wooden truck membabitkan peruntukan RM2.7 juta kepada wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara di sini hari ini.

Mengenai penyerahan kenderaan itu, Mohamad berkata lori berkenaan dapat membantu PPK memasarkan barangan makanan bermutu dan memastikan kesegaran produk hingga peringkat pengguna.

Sebelum ini, media melaporkan harga sayur-sayuran dijangka meningkat pada November dan Disember ini susulan fasa MTL yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan