AM > BERITA

'Port Of Call' Amalan Biasa Tentera Laut Seluruh Dunia - Mohamed Khaled

14/10/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kapal singgah sementara di pelabuhan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain atau port of call adalah amalan biasa di lautan termasuk oleh tentera laut di seluruh dunia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau yang mengesahkan kehadiran kapal Tentera Laut Rusia di Pulau Pinang hari ini berkata kapal dari Armada Pasifik Tentera Laut Rusia itu berlabuh di pelabuhan berkenaan hingga Khamis ini, dan sebelum itu kapal Tentera Laut Itali juga singgah di Pelabuhan Klang, Selangor selama empat hari bermula 1 Okt lepas.

“Kapal Tentera Laut Jerman dijadualkan untuk port of call di Pelabuhan Klang pada Rabu ini. Semua kapal tentera laut ini singgah dengan kebenaran untuk berlabuh melalui saluran diplomatik.

“Selain bagi urusan membabitkan logistik, persinggahan kapal-kapal tentera laut negara lain turut membuka ruang bagi diplomasi berkaitan pertahanan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata bagi membolehkan kapal tentera negara luar berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia, permohonan akan dilakukan oleh negara berkenaan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diangkat kepada Kementerian Luar untuk kelulusan.

“Tanpa kebenaran berkenaan, persinggahan mana-mana kapal tentera dianggap pencerobohan. Ia berbeza dengan tindakan sekadar belayar di perairan antarabangsa tanpa berlabuh yang dibenarkan undang-undang,” katanya.

Media hari ini melaporkan Malaysia memberi kebenaran kepada kapal dari Armada Pasifik Tentera Laut Rusia untuk berlabuh di Pulau Pinang selama empat hari bermula hari ini.

Sebelum ini, dua kapal tentera dari China bersama pelajar Naval University of China juga berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan