AM > BERITA

Melaka Komited Posisikan Kedudukan Sebagai Hab Pengeluaran EV Terkemuka Di Malaysia

14/10/2024 09:06 PM

MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri komited untuk memposisikan Melaka sebagai hab pengeluaran kenderaan elektrik (EV) terkemuka di Malaysia selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG13).

Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia sejajar dengan pembukaan kilang motosikal elektrik pertama jenama Lytron di negara ini yang bertempat di Ayer Keroh pada 2022.

Beliau berkata kilang berkenaan yang menjalankan operasi penghasilan dan pemasangan motosikal elektrik di bawah seliaan Lytron Sdn Bhd dan pengurusan Syarikat M Electric Vehicle Sdn Bhd (MEVB) itu turut memasar dan  mengedar  jualan motosikal elektrik Lytron di seluruh negara. 

"Setakat ini, saya difahamkan sebanyak 1,000 unit motosikal elektrik Lytron akan dipasarkan di Melaka dahulu bagi pasaran tempatan atas kelulusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Kita minta syarikat Zhejiang Luyuan Electric Vehicle Co. Ltd. dari China itu untuk mengembangkan lagi pelaburan mereka di Melaka melalui syarikat MEVB supaya perkembangan teknologi elektrik ini dapat berkembang di negara ini dengan perancangan-perancangan yang terbaik," katanya kepada pemberita di Encore, Kota Laksamana di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Motosikal Elektrik Lytron Malaysia yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Ab Rauf berkata penggunaan kenderaan elektrik dilihat amat signifikan bagi menyokong usaha menggalakkan amalan mobiliti rendah karbon dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan aspirasi kerajaan menuju negara neutral karbon menjelang 2050.

Beliau berkata selain itu, penggunaan EV juga adalah strategi tepat sebagai salah satu inisiatif yang komprehensif bagi menangani perubahan iklim dan menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Katanya selain itu, pengoperasi kilang motosikal elektrik itu juga dilihat berupaya membuka peluang pekerjaan dalam kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada institusi pengajian tinggi di negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan