AM > BERITA

Amiruddin Abdul Satar Tamat Perkhidmatan Sebagai Pengarah Besar FELDA

14/10/2024 11:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Datuk Amiruddin Abdul Satar menamatkan perkhidmatan sebagai Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini selepas empat tahun menerajui agensi itu. 

FELDA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh itu, Amiruddin,60, telah memimpin agensi berkenaan mengharungi pelbagai cabaran dengan penuh dedikasi dan visi yang jelas terutama ketika pascapandemik COVID-19.   

Selain itu, beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan termasuk pelaksanaan Kertas Putih: Ke Arah Kelestarian FELDA yang merangka sebuah model FELDA Baharu.

“Model ini bukan sahaja memperkukuh asas organisasi malah turut memberikan manfaat langsung kepada warga peneroka serta meningkatkan kesejahteraan komuniti FELDA.

“Sepanjang menerajui FELDA sejak 15 Okt 2020, beliau berjaya memulihkan kewangan melalui langkah pembaharuan dan pengurusan cekap,” menurut kenyataan itu. 

Pendekatan tegas Amiruddin dalam kawalan kos dan peningkatan hasil operasi  meletakkan FELDA kembali di landasan stabil  selain turut menekankan ekosistem holistik, kecekapan operasi dan pengurusan sumber bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan serta berdaya tahan.

"Asas yang dibina ini akan menjadi panduan untuk kejayaan FELDA pada masa hadapan.

“Seluruh pengurusan dan warga FELDA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Amiruddin atas kepimpinan beliau yang luar biasa, komitmen tidak berbelah bahagi serta perkhidmatan cemerlang yang dicurahkan sepanjang tempoh mengetuai FELDA,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan