AM > BERITA

KPDN Perkenal Dua Strategi Interim Lindungi Hak Pengguna Sebelum Lemon Law Dimuktamad

15/10/2024 04:29 PM

PETALING JAYA, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenal dua strategi interim untuk melindungi pengguna berkaitan hak tebus rugi terutama bagi pembelian kenderaan bermotor sebelum kerangka perundangan baharu berhubung Lemon Law dimuktamad.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, strategi itu adalah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memproses permohonan surat persetujuan daripada pengguna selain institusi perbankan terbabit diminta menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima serta memproses permohonan tersebut.

“Bermula 2 Sept lepas, pihak BNM telahpun keluarkan arahan meminta bank dan juga institusi kewangan supaya mewujudkan SOP bagi membolehkan pengguna memohon serta mendapatkan surat persetujuan. 

“Susulan kerjasama itu, BNM telah mengarahkan institusi perbankan untuk melaksanakan kedua-dua inisiatif sebelum 3 Dis ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan syarikat Carsome Group di sini hari ini.

Beliau berkata strategi itu adalah inisiatif intervensi oleh kerajaan bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada penyelesaian yang adil dan berkesan sebelum pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Armizan berkata ketika ini melalui perundangan sedia ada, platform untuk pengguna menuntut hak mereka ialah Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM). 

Beliau berkata melalui strategi itu, mereka boleh mendapatkan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi selaras dengan prinsip perlindungan pengguna di negara ini. 

“Mulai Januari hingga Ogos tahun ini, KPDN menerima 114 jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan dan 187 pemfailan membabitkan kenderaan terpakai di TTPM manakala 16 aduan lain yang diterima telah dirujuk kepada pasukan rundingan khas setakat Januari hingga September tahun ini,” katanya.

KPDN sedang mengkaji pelaksanaan serta penguatkuasaan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan lain untuk mendapatkan remedi bagi produk yang berulang kali rosak serta gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi. 

Remedi yang boleh dituntut di bawah Lemon Law membabitkan pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan