AM > BERITA

Penari Jadi Duta Perkenal Pelbagai Tarian Malaysia Di Jepun

15/10/2024 06:42 PM

Daripada Nur Natasha Aida Ismail

CHIBA (Tokyo), 15 Okt (Bernama) -- Persembahan unik gabungan pelbagai tarian di Malaysia diangkat dua penari profesional negara untuk dipertontonkan kepada masyarakat Jepun menerusi program Malaysia Fair-Taste of Malaysia di AEON Mall Makuhari New City di sini

Firdaus Neilan Boader, 37, bersama rakannya Noorsyaza Afrina Md Zakaria, 24, berkata tugas memperkenalkan keindahan tarian negara dalam program empat hari itu (11-14 Okt) bukanlah mudah kerana ia memerlukan koreografi yang memukau bagi menarik dan memastikan penonton kekal fokus.

“Mengadakan persembahan di negara sendiri dengan luar negara tidak sama kerana kalau di Malaysia khalayak biasanya sudah tahu secara asas tarian-tarian kebudayaan yang kita ada, namun di sini pandangan orang luar, rasa ingin tahu mereka lebih tinggi. 

“Semua orang boleh menari tetapi untuk menari secara profesional sangat susah apa lagi apabila sudah berada di peringkat ini, bagaimana untuk saya pastikan kebolehpersembahan (showmanship) saya mampu memukau penonton dari awal hingga akhir, cabarannya adalah sejauh mana jiwa tarian kita itu sampai kepada penonton untuk mereka berasa teruja menyaksikan persembahan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Firdaus yang berasal dari Sabah dan telah berkecimpung dalam industri tarian selama 14 tahun berkata teknik dan penghayatan merupakan elemen utama yang mampu membuatkan sesuatu tarian itu ‘hidup’ dan menjadi indah.

“Macam berlakon jugalah, kalau lakonan kita tiada penghayatan, apa yang kita lakonkan itu tidak sampai… menari pun begitu kalau kosong, maka tarian kita seperti tiada nilai, jadi kenalah betul-betul menghayati barulah sampai pada penonton, lagi-lagi penonton itu orang luar negara,” katanya.

Menurutnya pada program tersebut, tiga kategori tarian dipersembahkan iaitu tarian tradisional Melayu iaitu zapin dan joget, tarian rakyat Malaysia (Watimang Landak dan Embun Sok Sek) serta tarian Sabah dan Sarawak merangkumi Ngajat, Sumazau, Datu, Julud dan Magunatip. 

“Setiap hari kita ada enam sesi persembahan dan setiap sesi tempoh menari adalah selama 10 minit. Sambutan penonton memang amat memberansangkan dan orang Jepun memang memberikan sokongan yang positif. 

“Alhamdulillah selama empat hari, penganjur program sendiri telah memberikan pandangan yang positif terhadap persembahan kami,” katanya yang sebelum ini pernah mengadakan persembahan di Istanbul, Bulgaria dan Singapura.

Sementara itu, Noorsyaza Afrina berkata pengalaman, gaya dan teknik gerakan serta raut wajah antara kriteria yang dilihat dalam memilih penari untuk mewakili negara.

“Kalau ikutkan, kita ada sangat ramai penari dalam kumpulan persembahan komersial yang dikenali sebagai Sanggar Mustika Ventures, jadi bukan mudah untuk dipilih buat persembahan ke luar negara. Macam saya yang telah berjinak dengan dunia tarian ini sejak berusia lima tahun, mungkin pengalaman itulah yang membolehkan saya terpilih. 

“Persembahan di Jepun merupakan persembahan ketiga saya di luar negara selepas China sebanyak dua kali pada 2017 dan 2022,” katanya. 

Menurutnya sebagai penari sepenuh masa, membuat persembahan kebudayaan sambil membawa nama negara merupakan sesuatu yang sangat membanggakan. 

Program Malaysia Fair-Taste of Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama AEON Co (M) Bhd (AEON) bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk Malaysia yang berjaya menembusi rangkaian pasar raya itu di samping mengetengahkan tarian tradisional negara.

Program dirasmikan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar pada Sabtu lepas dan turut diadakan secara serentak di AEON Mall Kasai, AEON Mall Minamisuna, AEON Mall Style Shinonome, AEON Mall Style Himonya dan AEON Mall Narita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan