AM > BERITA

Hanya Syed Saddiq Beri Maklum Balas MOU Peruntukan Pembangkang - Dr Zaliha

15/10/2024 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah memberikan maklum balas rasmi berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata Syed Saddiq daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut memohon beberapa pengubahsuaian terhadap MoU itu dan kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan perkara berkenaan.

"Sekiranya tiada sebarang maklum balas rasmi diterima dari wakil pembangkang lain, maka ada kemungkinan yang akan menerima peruntukan ini adalah Yang Berhormat Muar sahaja," katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab usul dikemukakan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mahu kerajaan Persekutuan mengkaji semula MoU mengenai pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Dr Zaliha menjelaskan draf MoU itu telah dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Ketua Whip Kerajaan kepada Ketua Whip pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 15 Sept lepas, namun ia telah ditolak tanpa maklum balas kepada wakil kerajaan.

"Dalam perbincangan saya dengan Timbalan Perdana Menteri (Fadillah), menyatakan proses perundingan antara wakil kerajaan dan pembangkang boleh dianggap terhenti di sebelah pembangkang disebabkan wakil pembangkang sehingga kini tidak pernah mengemukakan maklum balas rasmi, maka tiada sebab kerajaan meneruskan rundingan sekali lagi.

"Analoginya, ini seperti kerajaan sudah lamar pembangkang tetapi apabila lamaran tidak dijawab...tak manislah kerajaan nak lamar lagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan