AM > BERITA

KPM Beri Guru, Sekolah Autonomi Dalam Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik 2024/2025

15/10/2024 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan autonomi kepada guru dan sekolah dalam pelaksanaan ujian akhir sesi akademik bagi sesi 2024/2025 sebagai langkah penambahbaikan dan pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Timbalan Menteri berkenaan Wong Kah Woh berkata penambahbaikan ini turut melibatkan perubahan bentuk pelaporan daripada penguasaan Pentaksiran Berterusan (PB) kepada format peratusan dan gred.

"Ujian akhir sesi akademik ini bukanlah ujian yang menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) kerana ia bukan peperiksaan pusat. Ujian ini bersifat 'low stakes' dan bertujuan untuk mengurangkan tekanan peperiksaan terhadap murid,”katanya.

.Beliau menegaskan ujian ini tidak bertujuan untuk membandingkan prestasi atau pencapaian antara murid, sekolah, daerah, atau negeri tetapi lebih kepada membantu murid dalam membangunkan dan memperkembangkan potensi mereka sebagai persiapan menghadapi fasa pembelajaran seterusnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini sebagai jawapan kepada usul yang dikemukakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan semula sistem peperiksaan UPSR dan PT3.

Wong berkata melalui PBS, guru dan murid dapat mengenal pasti kelemahan serta cabaran dalam pembelajaran yang membolehkan pelaksanaan program intervensi pemulihan selain pendekatan itu juga mengiktiraf kepelbagaian potensi, bakat, dan kemampuan setiap murid.

Beliau berkata pelaksanaan PBS adalah selaras dengan Education 2030 Incheon Declaration and Framework for Action yang dibentangkan di Forum Pendidikan Dunia di Korea Selatan pada 21 Mei 2015.

Deklarasi Incheon itu menggariskan pentaksiran pendidikan berkualiti melalui pentaksiran berterusan berasaskan bilik darjah serta pentaksiran komprehensif yang merangkumi aspek kognitif dan bukan kognitif.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan