AM > BERITA

329 Pemohon Daftar Program Peralihan LMM Kelas B2/B1 Ke B Di Melaka

16/10/2024 04:52 PM

MELAKA, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak 329 pemohon berdaftar bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di Melaka, sejak ia mula dilaksanakan 1 Okt lepas. 

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12 pemohon menduduki ujian ditetapkan dan lapan daripada mereka lulus menaik taraf lesen berkenaan.

“Untuk makluman semua, di Melaka tiada isu kita tidak melaksanakan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B, seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Bagaimanapun setakat ini, program berkenaan hanya dilaksanakan di tujuh institut memandu (IM) berdaftar di bawah pelaksanaan itu di ketiga-tiga daerah di Melaka,” katanya selepas Program Lelongan Kenderaan Lucut Hak 2024 JPJ Melaka, melibatkan 30 kenderaan.

Muhammad Firdaus berkata permohonan menaik taraf LMMKelas B2/B1 kepada LMM Kelas B  adalah terbuka dan tiada had pemohonan tetapi pemohon perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Beliau berkata antara syarat memohon ialah menerusi aplikasi MyJPJ, mempunyai lesen motosikal dalam tempoh 10 tahun dan bebas senarai hitam JPJ dan polis.

Terdahulu, Muhammad Firdaus berkata program lelongan awam melibatkan 30 kenderaan terdiri daripada 23 kenderaan, boleh dilesenkan dan tujuh kenderaan scrap yang tidak boleh dilesenkan itu, mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM45,862.60.

Beliau berkata 30 kenderaan yang dilelong itu terdiri daripada 18 motosikal, 10 motokar manakala dua lori dan bidaan paling tinggi melibatkan semi treler kontena pada harga RM9,750.

“Bidaan paling rendah pula melibatkan motosikal jenama Yamaha Lagenda 110ZR, yang merupakan kenderaan scrap pada berharga RM78," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan