AM > BERITA

158 Pengamal Media Disantuni Menerusi Tabung Kasih@HAWANA

16/10/2024 08:21 PM

KUALA SELANGOR, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak 158 pengamal media terdiri daripada golongan veteran dan petugas yang mengalami kesempitan hidup atau masalah kesihatan telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA setakat Oktober ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Beliau berkata jumlah itu menghampiri sasaran 200 pengamal media yang disasarkan untuk disantuni sepanjang tahun ini menerusi suntikan dana RM1 juta yang disediakan kerajaan untuk membantu petugas dan veteran media yang memerlukan.

"Tabung Kasih@HAWANA ini memang hasratnya untuk membantu rakan-rakan pengamal media, tidak kisah sama ada masih berkhidmat atau bersara, setakat ini 158 telah dibantu. Kita akan teruskan usaha mencari lagi pengamal media yang memerlukan untuk kita santuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA sempena sambutan Hari Deepavali kepada bekas penterjemah akhbar Malaysia Nanban K. Loganathan di kediamannya di Bestari Jaya di sini hari ini. 

Hadir sama Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Teo berkata bagi tujuan itu, pihaknya amat menggalakkan persatuan-persatuan media atau pun individu yang mengenali pengamal atau bekas petugas media yang memerlukan bantuan menghubungi Bernama selaku urusetia kepada Tabung Kasih@HAWANA untuk disenaraikan sebagai penerima inisiatif tersebut.

Sementara itu Arul Rajoo berkata sempena sambutan Deepavali tahun ini Bernama telah menerima 16 nama daripada Persatuan Media Tamil untuk dibantu, dan pihaknya sedang dalam proses menyalurkan bantuan menerusi inisiatif berkenaan sebelum 31 Okt ini.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan persatuan dan kelab media di negeri-negeri yang akan membantu Bernama mengenal pasti pengamal media yang layak untuk dibantu menerusi tabung itu di seluruh negara. 

"Setakat ini semua berjalan lancar. Sebaik sahaja kami menerima senarai, kita akan semak serta saring, dan apabila mendapat kelulusan kita akan salurkan bantuan terus kepada individu yang berkenaan," katanya. 

Sementara itu Loganathan, 43, ketika ditemui meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak pengurusan Bernama dan kerajaan atas bantuan tersebut yang pastinya sangat membantu meringankan beban beliau menjelang sambutan Deepavali hujung bulan ini.

"Saya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan wang tunai, pakaian serta barangan yang diberikan dan dengan wang ini dapat saya gunakan untuk membeli stok barangan asas untuk beberapa bulan," katanya yang kini memperoleh pendapatan dengan mengambil upah menulis iklan.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan