AM > BERITA

Kenaikan Bantuan STR Ringankan Beban Kos Sara Hidup Rakyat

16/10/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Penambahan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion pada 2023 kepada RM10 bilion dalam Belanjawan 2024, mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus meringankan beban kos harian golongan kurang berkemampuan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penambahan STR itu telah memberi manfaat kepada lebih lapan juta rakyat kurang berkemampuan dan rata-rata penerima menyifatkan pemberian bantuan itu amat bermanfaat dan benar-benar meringankan beban dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Ibu tunggal kepada enam orang anak Norazila Daud, 50, berkata duit bantuan STR yang diterimanya digunakan untuk membeli barangan keperluan asas bagi keluarga.

“Saya sering merancang perbelanjaan dengan teliti terutama apabila STR disalurkan, ia sangat membantu memenuhi keperluan asas keluarga saya.

“Kadang-kadang, keperluan anak-anak seperti perbelanjaan sekolah, pembelian buku latihan atau pakaian sukan sukar dijangka, namun melalui STR keperluan mendesak ini dapat disediakan dan anak-anak saya sentiasa dapat apa yang mereka perlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohammad Izwan Firdaus, 29, seorang penerima STR bagi kategori bujang pula berkata bantuan kerajaan itu sebagai ‘sinar harapan’ bagi rakyat sepertinya, yang bekerja sendiri untuk memenuhi keperluan hidup.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan, menyambut baik inisiatif berkenaan dan menzahirkan kegembiraan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan mengenai kenaikan jumlah bantuan itu pada tahun ini.

“Sebagai pekerja bebas ini pendapatan tidak menentu, kadang-kadang lebih, kadang-kadang kurang. Bantuan STR ini memang sangat membantu saya dalam menguruskan perbelanjaan kos harian seperti petrol, makanan dan keperluan asas. Bila bantuan STR naik, saya lega sebab sekarang ini setiap sen bermakna terutama bila kos hidup semakin meningkat,” katanya.

Mohammad Izwan berkata sebelum ini beliau pernah bekerja dengan pendapatan tetap, namun terpaksa beralih kepada bekerja sendiri akibat penstrukturan semula syarikat tempat kerjanya. 

Beliau berkata inisiatif STR itu bukan sahaja melegakan beban kewangan, tetapi juga menunjukkan bahawa kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh golongan pekerja persendirian sepertinya yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau sokongan keselamatan sosial kukuh.

Dalam pada itu, Rohaiza Malik, 37, seorang peniaga menyifatkan kenaikan bantuan STR itu sebagai sokongan penting kerajaan, untuk membantu meringankan beban perniaga kecil sepertinya yang terjejas pendapatan akibat kenaikan harga bahan mentah.

Beliau yang juga ibu tunggal kepada anak istimewa menghidap palsi serebral berkata bantuan tambahan STR itu amat membantu meringankan beban kewangan bulanan keluarganya.

“Sebelum ini hampir separuh wang hasil berniaga karipap sejuk beku digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan anak saya. Dengan kenaikan STR saya dapat mengurangkan beban itu, malah mampu menyimpan sedikit untuk kos terapi mingguannya,” katanya.

Rohaida, yang juga merupakan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) program di bawah Kementerian Kewangan, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan keperluan asas yang diterimanya.

“Dengan adanya kadar tambahan STR melalui SARA ini, saya boleh membeli keperluan makanan seperti beras, minyak dan barangan dapur untuk anak-anak hanya dengan menggunakan MyKad.

“Bantuan ini lebih daripada cukup bagi saya, sebab bila tengah bulan dalam keadaan yang mencabar ketika tiada wang untuk membeli barangan, bantuan ini menjadi harapan. Siapa lagi yang akan menghulurkan bantuan jika bukan kerajaan?,” katanya.

Melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion, yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

Selaras dengan Belanjawan 2024 kerajaan memperkenalkan SARA dengan mengkreditkan RM100 ke dalam kad pengenalan (MyKad), bagi 200 ribu penerima STR untuk tempoh 12 bulan yang penerima hanya perlu ke kedai runcit berdaftar untuk membeli keperluan asas dengan menggunakan MyKad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan