AM > BERITA

ASEAN 2025: Bernama Dilantik Media Rasmi, Penyelaras Pusat Media Antarabangsa, RTM Penyiar Rasmi

16/10/2024 10:51 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dilantik sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Mengumumkan perkara itu menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula dilantik sebagai penyiar rasmi.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia pastinya akan menjadi tumpuan serantau khususnya dan dunia amnya.

“Insya-Allah, kepengerusian kali ini juga bakal membuka pelbagai peluang ekonomi yang besar kepada rakyat,” katanya.

Fahmi berkata beliau dan rakan Jemaah Menteri hari ini menghadiri Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Bangunan Parlimen di sini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang berlangsung bersama dengan Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan dan Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN di Vientiane.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone sebagai simbolik penyerahan jawatan berkenaan.

Anwar turut memperkenal logo dan tema untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025: ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ pada majlis itu.

Tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bermula secara rasmi pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan