AM > BERITA

Petrol Bersubsidi Malaysia Masih Dijual Berleluasa Di Thailand

17/10/2024 03:12 PM

SADAO (Thailand), 17 Okt (Bernama) -- Kegiatan menjual petrol bersubsidi yang dipercayai diseludup dari Malaysia masih berleluasa di sekitar pekan Danok dan bandar Sadao, meskipun dikatakan tidak ‘serancak’ sebelum ini.

Tinjauan Bernama di sepanjang jalan dari pekan Danok menuju ke bandar Sadao sejauh kira-kira 13 kilometer, mengesan sekurang-kurangnya lapan lokasi peniaga menjual bahan api itu di kedua-dua arah jalan terbabit.

Kebanyakan minyak petrol tersebut diletakkan di dalam botol bersaiz 1.5 liter dan 2 liter, yang disusun di atas rak kayu dan diletakkan di hadapan premis seperti kedai makan dan bengkel kenderaan berhampiran jalan utama.

Bahan api tersebut dijual antara 30 baht (RM3.89) hingga 35 baht (RM4.53) sebotol, yang lebih murah jika dibandingkan dengan petrol di stesen minyak di Thailand, yang pada ketika ini dijual pada harga 35.45 baht (RM4.59) seliter.

Menurut seorang peniaga yang enggan dikenali, kebanyakan lokasi jualan minyak petrol dari Malaysia adalah sekitar pinggir pekan Danok menuju ke bandar Sadao, yang terletak berhampiran dengan sempadan Malaysia.

Peniaga itu berkata kebanyakan petrol tersebut yang dibotolkan, dijual kepada pengguna motosikal berbanding kenderaan lain kerana permintaan daripada golongan itu lebih tinggi.

“Dulu permintaan diesel Malaysia lebih tinggi daripada petrol, tapi selepas diesel di Malaysia naik harga, peniaga sudah kurang menjual diesel kerana untung yang diperoleh terlalu sedikit berbanding sebelum ini.

“Dulu banyak peniaga jual diesel, tapi sekarang ramai yang tak menjual dah…yang masih berniaga mereka banyak jual petrol dan sikit sangat yang jual diesel,” kata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ketika ditemui di Sadao, semalam.

Sementara itu, seorang pekerja sebuah kedai runcit di Danok yang turut enggan dikenali berkata walaupun jumlah peniaga yang menjual petrol bersubsidi dari Malaysia berkurangan, tetapi bahan api itu masih mudah didapati.

Lelaki itu berkata kebanyakan peniaga hanya menjual di tepi-tepi jalan utama antara pekan Danok menuju ke bandar Sadao dan tidak menjualnya di kawasan yang jauh dari sempadan seperti Hatyai, kerana faktor kos.

“Minyak Malaysia ada lagi dijual tapi sekarang tak banyak macam dulu terutama diesel dah kurang sebab harga di Malaysia pun dah hampir sama macam di Thailand, tapi petrol masih banyak jual,” kata lelaki berusia lingkungan 20-an itu.

Sementara itu pengusaha sebuah stesen minyak di Changlun yang terletak kira-kira lapan kilometer daripada sempadan Malaysia-Thailand, Mohamad Nekmat Ariffin, 41, berkata pihaknya tidak mengesan sebarang pembelian petrol bersubsidi secara berulang di stesen minyaknya, setakat ini.

Beliau berkata ia sekali gus menunjukkan pihak penyeludup semakin sukar mendapatkan bahan api itu untuk dijual di Thailand.

“Kalau petrol isian tong dibenarkan sehingga 20 liter untuk tujuan pertanian. Jika isian berulang ke dalam tangki kenderaan amat jarang berlaku sekarang dan selalunya kita boleh kesan jika untuk tujuan penyeludupan sebab kenderaan dan pemandu sama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan