AM > BERITA

Hari Komersialisasi FRIM 2024 Promosi Inovasi, Hasil Penyelidikan

17/10/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Hari Komersialisasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 2024 (HKF2024) selama dua hari bermula semalam diadakan bagi mempromosikan inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan berasaskan sumber semula jadi dan teknologi hijau.

FRIM dalam kenyataan hari ini menyatakan HKF2024 yang bertemakan ‘Creating Opportunities for Economic and Environmental Sustainability’ menyediakan platform bagi para penyelidik, usahawan dan pihak industri memperkukuhkan jaringan kerjasama ke arah pembangunan inovasi mesra alam yang mampan.

“HKF2024 turut menampilkan pelbagai acara termasuk pameran teknologi dan jualan hasil usahawan, sesi sembang santai bersama tokoh ilmuwan dengan beberapa topik menarik serta sesi pembentangan teknologi oleh penyelidik FRIM berkaitan perkhidmatan teknikal dan perundingan,” menurut kenyataan itu.

Majlis yang berlangsung di Auditorium FRIM itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Norsham Abdul Latip yang mewakili Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim, Pengerusi FRIM Incorporated Sdn. Bhd. (FRIM Inc.) Noor Azmi Mat Said, anggota institut, ketua jabatan di bawah NRES serta wakil syarikat.

Pada majlis itu, Norsham turut melancarkan logo 'FRIM Technologies' serta menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian dan nota kerjasama iaitu Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Pra-Pengkomersialan Produk Tongkat Ali, Sistem HerbaXpress sebagai gerbang e-dagang dan kerjasama FRIM bersama Syarikat Shue Guitars dalam kajian serta pembangunan produk peralatan muzik berasaskan kayu jati dan spesies kayu bukan komersial.

Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Pra-Pengkomersialan Produk Tongkat Ali membolehkan FRIM dan FRIM Inc. mencari rakan kerjasama untuk memperluaskan potensi pasaran produk berasaskan ekstrak dan sebatian aktif ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Menerusi Sistem HerbaXpress sebagai gerbang e-dagang pula, FRIM, FRIM Inc. dan Digital Dagang Sdn. Bhd. bekerjasama untuk mengintegrasikan pangkalan data HerbaXpress dengan platform Cartsini, bertujuan mewujudkan pasaran herba digital baharu yang dikenali sebagai Herba Cartsini.

Mengenai kerjasama FRIM dengan Syarikat Shue Guitars Sdn Bhd, kedua-dua pihak bekerjasama dalam menghasilkan produk akhir berkualiti menerusi perkhidmatan nasihat teknikal FRIM seperti pengujian pengecaman spesies kayu, ketahanan kayu dan spesifikasi spesies kayu yang digunakan dalam penghasilan produk instrumental muzik yang berkualiti tinggi.

Majlis penutup HKF2024 disempurnakan oleh Ismail yang turut menyampaikan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan Komersialisasi 2024 manakala Anugerah Pengurusan Kualiti disampaikan oleh Pengarah Inovasi dan Komersialisi Abdul Jabbar Sabli.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan