AM > BERITA

Penerima OKU Rumah PRR Tangga Batu Syukur Dapat Unit Khas

18/10/2024 02:32 PM

MELAKA, 18 Okt (Bernama) -- "Allah beri rumah ini pada waktu yang makcik sangat perlukan lebih-lebih lagi rumah khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU)," kata penerima kunci rumah Program Residensi Rakyat (PRR) Tangga Batu Noor 'Ainita Md Noor, 54.

Selain menghidap beberapa penyakit kronik seperti diabetis dan sakit tukang belakang dia yang juga OKU Fizikal itu berkata khabar gembira itu diterima ketika dia perlu mengosongkan rumah sewa yang didiaminya di Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah sejak enam tahun lepas.

Ibu tunggal kepada dua pasang cahaya mata berusia 25 dan 24 tahun itu berkata pada mulanya beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk mendapat rumah berkenaan kerana hanya sempat menghantar borang permohonan beberapa hari sebelum tarikh tutup.

"Sebenarnya permohonan dibuat pada akhir 2022, makcik sering berdoa agar dapat rumah PRR … sebelum ini makcik pun tidak tahu adanya rumah PPR di Melaka.

"Borang permohonan pun kawan makcik yang ambil dan hantar semula pada Lembaga Perumahan Melaka namun Alhamdulillah ada rezeki makcik," katanya kepada pemberita. 

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci PRR Tangga Batu yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Suhaimi  Ali @ Ahmad.

Noor 'Ainita berkata rumah unit OKU yang diterimanya di tingkat bawah blok pangsapuri itu memudahkan pergerakannya yang bergantung pada kerusi roda.

Sementara itu, seorang lagi penerima unit rumah OKU, Nursalihin Saleh, 48, dari Pantai Puteri di sini turut melahirkan rasa kesyukuran kerana permohonannya diluluskan sekali gus dapat menetap di rumah sendiri bersama keluarga. 

Beliau yang juga OKU fizikal berkata ketika ini dia bersama isteri Siti Nur Hajar Mohamed Salleh, 45, dan tiga cahaya mata berusia tujuh hingga 18 tahun menumpang di rumah pusaka arwah ibu mentuanya sejak lebih 17 tahun lepas.

"Memang sudah lama saya ingin ada rumah sendiri dan kebetulan saya dimaklumkan ada pembangunan rumah PRR di Tangga Batu, jadi saya mencuba nasib dan Alhamdulillah ramai yang membantu dalam proses permohonan ini.

"Saya harap akan datang, lebih ramai dapat miliki rumah ini berbanding hanya menyewa sehingga akhir hayat kerana sekarang ini bukan mudah untuk membeli rumah," katanya yang hanya berniaga makanan secara kecil-kecilan bersama isteri di Taman Bukit Rambai.

Projek PRR Tangga Batu mengambil masa empat tahun sebelum mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan pada 17 Nov tahun lepas, melibatkan pembinaan 120 unit rumah termasuk dua unit untuk golongan OKU dengan kos keseluruhan berjumlah RM23.2 juta.

PPR berkenaan yang dibangunkan di kawasan berkeluasan 0.98 hektar dengan  setiap unit rumah berharga RM191,250 itu turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti antaranya surau, tadika, taska dan taman permainan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan