AM > BERITA

Limpahan Air Sungai Jejas 30 Rumah Di Tanjong Karang

18/10/2024 03:06 PM

SHAH ALAM, 18 Okt (Bernama) -- Kira-kira 30 rumah di Kampung Haji Razali, Tanjong Karang di Kuala Selangor terjejas berikutan limpahan air Sungai Tengi, susulan fenomena air laut pasang besar pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan berkata situasi itu menyebabkan 26 mangsa dari 11 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, Kuala Selangor yang dibuka 10 pagi tadi.

Beliau berkata limpahan air itu berlaku selepas bacaan aras air laut di stesen rujukan Kapar Power Station-Stesen Lembaga Pelabuhan Klang direkodkan mencapai setinggi enam meter pada 6.20 pagi.

“Berikutan itu, semua agensi berkaitan diarahkan bersiap sedia menghadapi situasi ini termasuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa terjejas serta melaksanakan pemantauan berterusan.

“Orang ramai terutamanya yang berada di kawasan berisiko diingatkan sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim mengingatkan penduduk di kawasan pesisir pantai di negeri ini berwaspada dalam mendepani fenomena air pasang besar yang dijangka berakhir 20 Okt ini.

Izham berkata paras air laut akan mencecah 5.8 meter hari ini manakala pada 19 dan 20 Okt masing-masing dijangka pada paras 5.7 dan 5.5 meter.

-- BERNAMA   

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan