EKONOMI > BERITA

Kadar Duti Eksport MSM Disemak Semula Pastikan Bekalan Dalam Negara - Kementerian Kewangan

18/10/2024 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kadar duti eksport minyak sawit mentah (MSM) disemak semula dalam usaha memastikan bekalan komoditi tersebut di pasaran tempatan dan menggalakkan aktiviti pemprosesan lanjut dan aktiviti hiliran bagi menghasilkan produk nilai tambah lain seperti biodiesel dan oleokimia, kata Kementerian Kewangan hari ini. 

Menurut lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini, kementerian itu berkata kadar duti eksport MSM ini akan berkuat kuasa 1 Nov, 2024. 

Kadar duti eksport untuk harga pasaran MSM bagi RM2,250 setiap tan metrik dan ke bawah kekal sifar, diikuti RM2,250-RM2,400 pada kadar 3.0 peratus, RM2,401-RM2,550 (4.5 peratus), RM2,551-RM2,700 (5.5 peratus), RM2,701-RM2,850 (5.5 peratus), RM2,851-RM3,000 (6.0 peratus) dan RM3,001-RM3,150 (6.5 peratus).

Sementara itu, kadar duti eksport untuk harga pasaran MSM pada RM3,151-RM3,300 setiap metrik tan adalah pada 7.0 peratus, diikuti RM3,301-RM3,450 (7.5 peratus), RM3,451-RM3,600 (8.0 peratus), RM3,601-RM3,750 (8.5 peratus), RM3,751-RM3,900 (9.0 peratus), RM3,901-RM4,050 (9.5 peratus) serta lebih RM4,050 setiap tan metrik pada kadar 10 peratus. 

Bagi terus menyokong kelangsungan industri sawit negara, Kementerian Kewangan mencadangkan nilai ambang keuntungan luar biasa disemak semula bagi Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak masing-masing pada 3.0 peratus untuk nilai ambang harga MSM pada RM3,150 setiap tan metrik dan RM3,650 setiap tan metrik bermula 1 Jan, 2025. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan