AM > BERITA

PM Anwar Menuju Ke Parlimen, Bentang Belanjawan 2025

18/10/2024 04:04 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Pejabat Kementerian Kewangan di sini pada 3.15 petang ini untuk ke Parlimen bagi pembentangan Belanjawan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengenakan baju Melayu berwarna kelabu lengkap bersamping meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraf tangan tempatan iaitu beg fail berwarna hitam dengan corak tenunan songket bersulam benang emas yang berisi dokumen Belanjawan 2025.

Kerja seni tenunan songket beg itu dihasilkan oleh pereka tempatan Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.

Selain tenunan songket di bahagian luar, beg itu turut menerapkan kombinasi sari bagi lapisan dalam.

Ditanya sama ada Belanjawan 2025 akan memberikan berita baik kepada golongan M40, Anwar hanya mengangkat ibu jari menunjukkan tanda bagus sambil tersenyum.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, sebelum memulakan perjalanan ke Parlimen, Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan Ustaz Mohamad Zukrillah Ismail mengetuai bacaan doa.

Belanjawan 2025 memberi tumpuan utama kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat".

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan