SUKAN > BERITA

Belanjawan 2025: Lebih RM230 Juta Perhebat Pembangunan Sukan Di Malaysia

18/10/2024 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan terus memperhebat pembangunan sukan negara dengan penyaluran peruntukan lebih RM230 juta menerusi Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara berkenaan meliputi program podium, latihan dan program Road to Gold serta persiapan atlet para menjelang Sukan Para Dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.

“Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik. Ini termasuk pencapaian saudara Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya merangkul emas,“ katanya.

Bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, Anwar berkata RM15 juta disediakan kepada pasukan Harimau Malaya, pasukan bawah 18  tahun dan bawah 13 tahun dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Ia bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal dengan pemain,” katanya.

Anwar berkata kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf e-sukan manakala RM1 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan kriket.

Katanya kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan kerajaan melalui Majlis Sukan Negara. 

“Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita saudari Pearly dan saudari Thinaah serta beregu lelaki saudara Sze Fei dan saudara Izzuddin yang telah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan,” katanya.

Dalam membentuk sahsiah mulia dan menangkis perbezaan antara kaum dalam masyarakat, Anwar berkata penganjuran program pemupukan semangat perpaduan serta jati diri akan diperbanyakkan dengan peruntukan RM50 juta.

"Program komuniti yang menyubur semangat kesukarelawanan akan terus diperkasakan dengan peruntukan RM150 juta.

“Ini antaranya untuk bekerjasama dengan Yayasan GLIC/GLC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu-isu rakyat, selain penganjuran gotong-royong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah seluruh negara,” katanya.

Beliau turut mengumumkan RM50 juta ringgit dana bantuan bagi kerja-kerja baik pulih dan selenggara rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan