AM > BERITA

Sarawak Terus Sokong MOSTI Dalam Penganjuran Malaysia Techlympic

18/10/2024 06:54 PM

SIBU, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) akan terus menyokong Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam penganjuran Malaysia Techlympics.

Sokongan terhadap Malaysia Techlympics 2024 turut mencerminkan komitmen untuk memupuk budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selain mempromosikan teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat tempatan terutamanya pelajar serta belia.

“Kerajaan negeri menyifatkan program ini sebagai platform mempamerkan dan memperkenalkan teknologi serta inovasi baharu sambil menarik minat masyarakat tempatan, khususnya pelajar dan belia dalam bidang teknologi," kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Bercakap pada majlis pelancaran Malaysia Techlympics 2024 Zon Sarawak di Stadium Tertutup Sibu di sini hari ini, Sagah menyatakan berbangga dengan sambutan menggalakkan apabila seramai 1,161 peserta dari Sarawak pada tahun ini.

Seramai 718 belia Sarawak dari 55 sekolah di seluruh negeri berjaya melangkah ke peringkat Zon Sarawak untuk bersaing menempah slot dalam National Grand Final yang dijadualkan diadakan di Putrajaya pada 17 dan 18 Nov. 

Malaysia Techlympics ialah pertandingan berasaskan STI yang direka untuk membantu peserta mempelajari dan menerapkan teknologi terkini melalui projek inovasi praktikal seperti robotik, dron, pengkodan dan pelbagai lagi.  

Sagah juga menggesa para guru untuk sentiasa aktif dalam melaksanakan aktiviti berkaitan STI dan menyokong Malaysia Techlympics dengan menyertai program serta pertandingan dalam talian yang akan berlangsung hingga pertengahan November.

Beliau menggesa belia memanfaatkan inisiatif kerajaan melalui MOSTI untuk memajukan program, membina budaya STI yang menyeluruh serta meningkatkan kesedaran dan penglibatan dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei berkata Malaysia Techlympics menekankan aspek keterangkuman kepada keperluan asas serta pendidikan berkualiti melalui program ‘outreach’ yang telah dirancang sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Program ini antara lain bertujuan meningkatkan akses kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya kepada pelajar, guru serta masyarakat tempatan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata lebih 127 guru di Sarawak terlibat secara langsung dalam pelaksanaan capaian program ‘outreach’ itu melalui latihan secara fizikal dan dalam talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan