AM > BERITA

Peruntukan SPRM Ditingkatkan Kepada RM360 Juta - PM Anwar

18/10/2024 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Peruntukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditingkatkan kepada RM360 juta ringgit tahun hadapan berbanding RM338 juta yang diterima tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas, bagi mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan.

“Angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang sebelumnya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewak Rakyat hari ini.

Anwar berkata Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci.

“Antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan, bertujuan memperkasa tatakelola dan kecekapan perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata sejumlah RM20 juta disediakan untuk terus memperkasa kawalan pintu masuk negara.

“Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia telah ditubuhkan bagi meningkatkan pengurusan keluar masuk sempadan dan sebanyak 63 negara telah menggunakan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kaedah kod QR telah digunakan bagi memeriksa penumpang bas dan pengguna motosikal di pintu masuk utama selatan tanah air, dan ini memendekkan masa pemeriksaan sehingga 40 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan