AM > BERITA

Kadar Gaji Minimum RM1,700 Beri Manfaat Bagi Pekerja Dan Majikan

18/10/2024 09:33 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Peningkatan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 adalah usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah lebih terjamin serta mengangkat martabat dan mengutamakan rakyat.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata inisiatif ini juga membuka peluang bagi majikan yang akan menerima manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna selepas ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa kadar baharu ini telah dipersetujui secara sebulat suara oleh wakil majikan, wakil pekerja dan kerajaan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN dan seragam di seluruh negara tanpa mengira wilayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2025, mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.

Anwa, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan, bermula pada 1 Ogos 2025.

Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) buat julung kalinya akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan berdasarkan  Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

“Garis panduan ini kelak adalah rujukan kepada pekerja dan majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan,” katanya.

Sementara itu,  Persekutuan Majikan-Majikan  Malaysia (MEF) dalam kenyataan berasingan menghargai keputusan kerajaan untuk menetapkan gaji minimum baharu pada RM1,700, mengakui cabaran yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman jug juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempertimbangkan keperluan PMKS dan memberikan tempoh pelaksanaan yang munasabah terutamanya bagi perusahaan mikro dengan kurang daripada lima pekerja.

“MEF berpendapat bahawa gaji minimum baharu RM1,700 hanyalah titik permulaan. Kebanyakan majikan membayar gaji di atas gaji minimum, oleh itu MEF menyeru majikan yang mampu untuk membayar gaji melebihi kadar gaji minimum.

“Tiada siapa yang sepatutnya menjadikan gaji minimum sebagai alasan untuk membayar berdasarkan gaji minimum.

“Sebaliknya syarikat akan menggunakan etika dan amalam baik dengan memberikan ganjaran kepada pekerja berdasarkan prestasi pekerja dan perniagaan mereka,” katanya.

— BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan