AM > BERITA

Belanjawan 2025: Kerajaan Komited Pastikan Sistem Pengangkutan Awam Cekap

18/10/2024 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan terus memastikan sistem pengangkutan awam yang cekap, berpatutan dan selesa untuk manfaat semua rakyat termasuk meneruskan Perkhidmatan Udara Luar Bandar Sabah Sarawak dengan peruntukan lebih RM200 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata ia termasuk membuka laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Layang-Layang dan Miri ke Long Banga.

Beliau berkata Prasarana telah membuat perolehan 250 bas elektrik tahun ini dan Kementerian Pengangkutan juga telah memulakan perolehan 12 gerabak tren penumpang KTMB bagi keselesaan penumpang manakala 50 gerabak tren lagi akan diperoleh secara pajakan menerusi kerjasama Kerajaan-Kerajaan dengan China.

“Pas Bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180 ribu pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana. Perkhidmatan bas henti-henti terus disokong dengan peruntukan lebih RM270 juta dan setiap bandar utama di semua negeri akan dipastikan dapat menerima manfaat.

“Capaian bas ditingkatkan di Lembah Klang dengan RM10 juta disediakan bagi menambah lorong bas khas melibatkan Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer selain 100 hentian bas di Lembah Klang akan ditambah baik melibatkan kerjasama GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan badan swasta bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna perkhidmatan bas awam,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Prasarana akan menyediakan kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala dan sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Melati.

“Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan